Simpan Dahulu, Belanja Kemudian

Kesalahan yang banyak orang sering lakukan berkaitan pengurusan kewangan ialah mereka berbelanja dahulu, bakinya baru mereka simpan. Mereka beranggapan, setelah berbelanja sepanjang bulan, kalau ada wang lebihan baki perbelanjaan pada bulan tersebut, baru mereka akan simpan. Kalau bakinya banyak, maka banyaklah simpanan mereka pada bulan tersebut; kalau bakinya sedikit, maka sedikitlah simpanan mereka pada bulan tersebut. Seolah-olah simpanan kewangan mereka lebih ditentukan oleh faktor luaran berbanding diri mereka sendiri.

Pemikiran dan pengamalan 'Belanja Dahulu, Simpan Kemudian' bukan sahaja membuatkan pengamalnya tiada simpanan tetap bulanan, bahkan boleh memjerumuskan pengamalnya kepada langsung tiada simpanan, kerana pendapatannya telah dihabiskan pada perbelanjaan.

"Pendapatan aku sekarang kecil, tak dapat nak menyimpan, tak ada duit lebih. Tunggulah pendapatan aku besar nanti baru aku menyimpan. Apabila pendapatan dah besar, barulah ada banyak duit lebih."

"Macam mana nak menyimpan kalau duit pun tak cukup?"

Membuat simpanan sebenarnya soal pengurusan dan keutamaan, bukan soal pendapatan. Apabila kita jadikan simpanan sebagai keutamaan, kita akan hadkan perbelanjaan, bahkan kita akan tentukan pula keutamaan suatu perbelanjaan yang ingin dilakukan, sama ada perbelanjaan tersebut memang suatu keperluan atau sekadar kemahuan. Orang yang berpendapatan kecil tetapi tahu keutamaan dan pandai urus kewangan dengan baik dan betul, akan boleh membuat simpanan juga.

Sebaliknya, kalau pendapatan besar pun, tetapi tidak tahu keutamaan dan kewangan tidak terurus, tetap tidak dapat membuat simpanan, tetap tidak ada duit lebih. Hal ini kerana apabila meningkat pendapatan, keinginan dan kemahuan untuk berbelanja juga turut sama meningkat. Contohnya, semasa pendapatan kecil, motorsikal digunakan sebagai pengangkutan. Namun apabila pendapatan meningkat, terasa pula ingin beli kereta walaupun motorsikal sedia ada yang digunakan sebagai pengangkutan masih lagi berfungsi dengan baik. Jadi, jika keinginan dan kemahuan tersebut tidak dikawal oleh pengurusan kewangan dan penilaian keutamaan yang baik, peningkatan pendapatan tidak akan memberi perubahan signifikan terhadap kewangannya.

Formula simpanan atau perbelanjaan yang SALAH:
Pendapatan - Perbelanjaan = Simpanan

Keadaan sebegitu dapat dielakkan dengan perbaiki pengurusan kewangan kita dengan pemikiran dan pengamalan 'Simpan dahulu, Belanja Kemudian'. Dengan 'Simpan Dahulu, Belanja Kemudian', kita akan ada simpanan tetap bulanandan konsisten dalam menyimpan, yang mana simpanan itu nanti akan membuka peluang kewangan yang lebih besar. Bahkan, pendapatan kita tidak akan dihabiskan pada perbelanjaan, kewangan kita akan lebih terurus dan fikiran kita akan lebih tenang.

Sekiranya kita yang berpemikiran 'Simpan Dahulu, Belanja Kemudian' menetapkan simpanan tetap bulanan kita sebanyak RM10/bulan, dalam tempoh 1 tahun, pasti simpanan kita akan ada RM120 sekiranya tiada perkara yang mengganggu simpanan kita. Bak kata pepatah, "sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit". Orang yang pendapatannya sedikit tetapi simpanannya banyak lebih selamat kewangannya berbanding orang yang pendapatannya banyak tetapi simpanannya sedikit atau tiada.

"Berapa patut simpan?"

Pakar-pakar kewangan syorkan simpan sekurang-kurangnya sepuluh peratus (10%) daripada pendapatan; kalau boleh simpan lebih lagi, lebih baik. Contoh, kalau pendapatan RM500/bulan, simpan sekurang-kurangnya RM50/bulan; kalau pendapatan RM1000/bulan, simpan sekurang-kurangnya RM100/bulan. Namun jika tak mampu nak simpan walau serendah 10% daripada pendapatan, simpanlah ikut kemampuan kewangan. Yang penting, simpan secara konsisten.

Tak perlu risau nak tentukan nilai simpanan, kerana nilai simpanan seseorang terhad. Seseorang boleh menyimpan paling maksima pun 100% daripada pendapatannya, tidak akan lebih daripada itu. Berbeza dengan perbelanjaan - seseorang boleh berbelanja walau melebihi 100% daripada pendapatannya. Bagaimana? Secara berhutang. Seseorang ada had untuk menyimpan, tetapi seseorang tiada had untuk berbelanja. Jadi, tak perlu pening kepala fikir nak tentukan nilai simpanan, sebaliknya fikir nak tentukan nilai perbelanjaan. Letakkan had pada perbelanjaan agar perbelanjaan dapat dikawal.

Formula simpanan atau perbelanjaan yang BETUL:
Pendapatan - Simpanan = Potensi Perbelanjaan



Comments

Popular posts from this blog

Kelebihan Perak Sebagai Simpanan Berbanding Emas

Akaun Perak Silver Accumulation Program (SAP) Public Gold

Easy Payment Purchase (EPP) Public Gold