Kelebihan Perak Sebagai Simpanan Berbanding Emas
"Apa kelebihan silver berbanding emas? Kenapa Dr. Aizat lebih banyak simpan silver berbanding emas?"
Ini antara soalan yang sering ditanya kepada saya. Maklumlah, antara gelaran saya ialah 'Dr. Silver', jadi mereka bertanya soalan berkaitan silver kepada saya.
Secara asasnya, kelebihan silver sebagai simpanan berbanding mata wang fiat sama sahaja dengan kelebihan emas sebagai simpanan berbanding mata wang fiat. Jika emas kalis inflasi dan manipulasi mata wang fiat, silver juga kalis inflasi dan manipulasi mata wang fiat. Jika emas mampu menutup kebocoran kewangan dan mengawal sifat boros berbelanja, silver juga mampu menutup kebocoran kewangan dan mengawal sifat boros berbelanja. Jika emas boleh dijadikan mas kahwin atau hantaran, silver lebih lagilah boleh dijadikan mas kahwin atau hantaran.
Namun ada beberapa kelebihan yang silver ada lebih daripada emas. Ini antara kelebihan silver berbanding emas:
#1 - Silver Digunakan Sebagai Mata Wang Lebih Meluas Berbanding Emas
Berdasarkan sejarah, silver lebih banyak digunakan sebagai mata wang berbanding emas. Penggunaan silver sebagai mata wang lebih meluas berbanding emas.
Kata Norm Franz maksudnya, "Emas ialah wang golongan raja; perak ialah wang golongan bangsawan, barter ialah wang golongan tani; tetapi hutang ialah wang golongan hamba.". |
Al-Qur'ān juga turut menyatakan beberapa adegan yang menunjukkan penggunaan silver sebagai mata wang, antaranya:
وَشَرَوۡهُ بِثَمَنِۭ بَخۡسࣲ دَرَ ٰهِمَ مَعۡدُودَةࣲ وَكَانُوا۟ فِیهِ مِنَ ٱلزَّ ٰهِدِینَ
Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya (Yūsuf) dengan harga yang murah, (iaitu beberapa) dirham (matawang perak) sahaja bilangannya; dan adalah mereka padanya (urusan jual-beli tersebut) orang yang 'zuhud'.
[Sūrat Yūsuf, 12:20]
وَكَذَ ٰلِكَ بَعَثۡنَـٰهُمۡ لِیَتَسَاۤءَلُوا۟ بَیۡنَهُمۡۚ قَالَ قَاۤىِٕلࣱ مِّنۡهُمۡ كَمۡ لَبِثۡتُمۡۖ قَالُوا۟ لَبِثۡنَا یَوۡمًا أَوۡ بَعۡضَ یَوۡمࣲۚ قَالُوا۟ رَبُّكُمۡ أَعۡلَمُ بِمَا لَبِثۡتُمۡ فَٱبۡعَثُوۤا۟ أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمۡ هَـٰذِهِۦۤ إِلَى ٱلۡمَدِینَةِ فَلۡیَنظُرۡ أَیُّهَاۤ أَزۡكَىٰ طَعَامࣰا فَلۡیَأۡتِكُم بِرِزۡقࣲ مِّنۡهُ وَلۡیَتَلَطَّفۡ وَلَا یُشۡعِرَنَّ بِكُمۡ أَحَدًا
Dan demikianlah Kami telah bangkitkan mereka (daripada tidur mereka), supaya mereka saling bertanya sesama mereka. Salah seorang antara mereka telah berkata (bertanya): "Berapa lamakah kalian telah tidur?" (sebahagian daripada) mereka telah berkata (menjawab): "Kami telah tidur (selama) sehari atau sebahagian daripada sehari". (Sebahagian lagi daripada) mereka berkata (menjawab): "Tuan kalian lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; maka (sekarang) bangkitlah (utuslah) salah seorang daripada kalian dengan wang perak kalian ini ke bandar; kemudian hendaklah dia memerhati (mencari dan memilih) mana-mana makanan (yang terjual di situ) yang lebih suci (halal lagi baik); kemudian hendaklah dia mendatangi (membawa pulang kepada) kalian dengan suatu rezeki daripadanya; dan hendaklah dia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia (melakukan sesuatu yang) menyedarkan (walau) seorang pun akan perihal kalian.
[Sūrat al-Kahf, 18:19]
Selain itu, mata wang silver juga digunakan oleh Rasūl-Allāh dan para sahabat sebagaimana diceritakan dalam sīrah, antaranya:
- Ketika memeluk Islām, S.. Abū Bakr menderma 40,000 dirham untuk Islām
- S. `Utsmān membeli Telaga Pemanah (Bi'r Rummah) daripada seorang Yahudi dengan harga 20,000 dirham
Oleh sebab harga silver murah dan tidak setinggi emas, silver lebih mudah digunakan dalam transaksi harian. Ini antara faktor silver lebih menjadi pilihan sebagai mata wang bagi kaum marhaen berbanding emas. Jika berlaku kegagalan sistem kewangan, orang yang memiliki silver lebih mudah melakukan transaksi harian berbanding orang yang memiliki emas.
#2 - Potensi Kenaikan Harga & Keuntungan Silver Jauh Lebih Tinggi Berbanding Emas
Potensi kenaikan harga silver dan keuntungan dalam simpanan dan pelaburan silver jauh lebih tinggi berbanding emas disebabkan beberapa faktor, antaranya:
🅰️Harga Silver Sekarang Masih TERSANGAT MURAH dan UNDERVALUE!
Nak tahu suatu harga emas atau silver tinggi atau rendah, tengok peratus perbezaan antara harga tersebut dengan harga tertinggi. Semakin besar peratus perbezaan, semakin rendah dan murah harga semasa.
Harga silver hari ni berada di paras terendah dalam 5 tahun. Harga silver hari ni RM2.13/gram, harga tertinggi RM3.17/gram, beza hampir 50% berbanding harga hari ni. Berbeza dengan emas. Harga emas hari ni RM220/gram, harga tertinggi RM240/gram, beza sekitar 9% berbanding harga hari ni.
Peratus perbezaan harga hari ini dengan harga tertinggi menggambarkan potensi kenaikan harga. Semakin besar peratus perbezaan, semakin besar potensi kenaikan harga dan keuntungan.
Harga tertinggi silver dalam sejarah buat masa ini ialah RM4.78/gram. Bandingkan dengan harga sekarang. |
🅱Gold-Silver Ratio (GSR) Sekarang XAU:XAG120, PARAS TERTINGGI DALAM SEJARAH!
Nisbah antara emas dengan silver, dikenali sebagai Gold-Silver Ratio (GSR), ialah perbandingan harga emas dengan harga silver. Bahasa mudahnya, dengan 1 gram emas, berapa gram silver boleh didapati, dan sebaliknya.
Sebagai contoh, jika harga semasa emas ialah RM250, dan harga semasa silver ialah RM2.00/gram, maka GSR ialah XAU:XAG125. Maksudnya, dengan 1 gram emas, 125 gram silver boleh didapati, dan sebaliknya.
Gold-Silver Ratio (GSR):
= Harga Semasa Emas ÷ Harga Semasa Silver
= RM250/gram ÷ RM2.00/gram
= XAU:XAG125
Berdasarkan sejarah, sebelum 15 Ogos 1971 semasa Sistem Bretton Woods diamalkan, GSR pernah berada di paras XAU:XAG35. Selepas pemansuhan Sistem Bretton Woods pada 15 Ogos 1971, GSR berubah-ubah dan naik-turun. Pada tahun 2011, GSR pernah turun sehingga ke paras XAU:XAG30. Sekarang pada 20 Mac 2020, GSR berada di paras XAU:XAG120.
Bayangkan ketika GSR di paras XAU:XAG120, kita membeli dan menyimpan 120 gram silver. Apabila berlalu masa, GSR mengecil ke paras XAU:XAG30. Dengan 120 gram silver yang pada awalnya (GSR XAU:XAG120) bersamaan 1 gram emas, apabila GSR mengecil ke paras XAU:XAG30, kita mampu membeli 4 gram emas.
Kita cuba kaitkan nisbah ini dengan nishāb zakat emas dan nishāb zakat silver. Nishāb zakat emas ialah 85 gram, hari ni bersamaan RM18,700; manakala nishāb zakat silver ialah 595 gram, hari ni bersamaan RM1,267.35 sahaja.
Nishāb zakat emas hampir 15 kali ganda lebih tinggi berbanding nishāb zakat silver. Jika nisbah nishāb zakat emas dan silver ini sepatutnya 1:1 (85 gram emas = 595 gram silver), maka harga silver sepatutnya sekitar RM30/gram, bukan RM2.13/gram. Beza sekitar RM28/gram, banyak tu!
#3 - Bilangan Penyimpan & Pelabur Silver Lebih Sedikit Berbanding Emas
Nak faham tentang kaitan bilangan penyimpan dan pelabur silver dengan harga silver dan GSR, jemput tonton video oleh Pakar Mata Wang, Mike Maloney dan Silver Guru, David Morgan ini:
#4 - Silver ialah Logam Industri
Selain sebagai mata wang, perhiasan dan pelaburan, silver juga digunakan dalam industri perubatan, elektronik, telekomunikasi, pengangkutan, aeroangkasa dan lain-lain. Silver digunakan dalam industri lebih banyak berbanding emas. Tamadun moden yang penuh kemudahan dan keselesaan ini sukar dibina tanpa silver.
Masa hadapan bagi silver juga sangat cerah. Permintaan terhadap silver dalam kegunaan industri pada masa hadapan diramalkan akan meningkat seiring dengan peningkatan penggunaan teknologi seperti smartphone, panel solar dan kereta elektrik.
Silver digunakan dalam pembuatan telefon pintar seperti iPhone. Tiadalah iPhone tanpa silver~😏 |
Silver digunakan dalam pembuatan panel solar. Gunalah panel solar. Ia mampu mengurangkan bil elektrik dan menjimatkan perbelanjaan, selain mesra alam.🌞 |
Silver digunakan dalam pembuatan kereta elektrik. Nak serlahkan upperclassmanship T20 anda? Gunalah kereta elektrik.😉 |
Penurunan harga silver sekarang disebabkan permintaan silver dalam industri berkurang akibat krisis pandemik COVID-19 yang merencatkan industri dan ekonomi global. Namun, apabila keadaan kembali seperti biasa (cuma saya tak tahu bila akan berlaku), kelancaran industri dan kestabilan ekonomi akan menyebabkan peningkatan dalam permintaan terhadap silver, yang akan meningkatkan harga silver.
Nak faham lebih lanjut tentang masa hadapan bagi silver, boleh tonton video oleh Pakar Sejarah Mata Wang, Mike Maloney ini:
#5 - Lebih Pantas Meningkatkan Motivasi Untuk Menyimpan
Dengan budget sekitar RM600, anda boleh dapatkan silver bar 250 gram berdasarkan harga hari ini RM2.13/gram. Dengan silver bar 250 gram tersebut, anda boleh sentuh, pegang, angkat dan rasa beratnya, jilat, gigit atau apa-apa sahaja yang anda nak lakukan menikmati silver bar tersebut. Dengan menikmati silver bar tersebut, boleh meningkatkan motivasi diri anda untuk terus membuat simpanan.
Berbeza dengan emas. Dengan budget RM600, anda hanya boleh dapat 2 wafer emas 1 gram dan 1 wafer emas 0.5 gram sahaja. Anda tak dapat menikmati wafer-wafer emas tersebut sebagaimana anda boleh menikmati silver bar 250 gram. Tidak terasa berat mengangkat wafer emas seberat 2.5 gram. Motivasi dalam menyimpan emas tidak sepantas dan sekuat menyimpan silver.
#6 - Cara TERPANTAS Menjadi Pemberi Zakat Harta
Jika anda bercita-cita menjadi pemberi zakat harta, saya syorkan anda simpan silver. Menyimpan silver ialah cara termudah dan terpantas untuk berkelayakan menjadi pemberi zakat harta. Nishāb zakat silver ialah 595 gram. Berdasarkan harga silver hari ni RM2.13/gram, nishāb zakat silver bersamaan RM1267.35 sahaja. Sedikit dan mudah, kan? Mahasiswa pun boleh capai.
Berbeza dengan emas. Nishāb zakat emas ialah 85 gram. Berdasarkan harga emas hari ni RM220/gram, nishāb zakat emas bersamaan RM18,400. Hampir 15 kali ganda berbanding nishāb zakat silver. Tak banyak orang, lebih-lebih lagi mahasiswa, yang mampu menyimpan sehingga sebanyak itu.
#7 - Ancaman Keruntuhan & Kegagalan Sistem Kewangan Fiat
Apabila berlaku ancaman terhadap Sistem Kewangan Fiat, pelabur dan orang ramai akan panik dan kelam-kabut ingin tukarkan mata wang fiat mereka dan selamatkan nilai kewangan mereka dengan aset material yang mampu menyelamatkan dan melindungi nilai kewangan dan kekayaan mereka.
Pada mulanya, boleh jadi emas akan meningkat dahulu kerana orang kaya, berada dan berkemampuan akan segera membeli dan menyimpan emas. Apabila harga emas meningkat ke tahap yang orang kelas pertengahan merasakan harga emas terlalu tinggi, maka mereka akan cari alternatif lain yang mampu memberi fungsi sama seperti emas tetapi pada harga yang lebih murah dan berpatutan.
Pada ketika itu, silver akan menjadi sasaran. Banyak orang akan berebut membeli dan menyimpan silver, yang akan meningkatkan harga silver dengan peratusan jauh lebih tinggi berbanding emas.
[P/s: Artikel ini disalin dan disunting daripada artikel asal yang dikarang pada Mac 2020. Beberapa bahagian dalam artikel ini perlu disesuaikan mengikut keadaaan semasa seperti harga dan GSR.]
Tq for your great sharing. 'you can do it'
ReplyDeleteTerima kasih tuan atas perkongsiaan, mindblowing kejap tentang silver.
ReplyDelete