Gaya Hidup Bawah Kemampuan
Antara faktor mempengaruhi tahap kewangan seseorang ialah gaya hidup (lifestyle) yang dia amalkan. Gaya hidup berbeza akan menghasilkan tahap dan peluang kewangan berbeza, sama ada meningkat, mengekal atau menurun. Gaya hidup berbeza akan membuatkan seseorang sama ada bertambah kaya, sama sahaja, atau semakin miskin.
Secara asasnya, ada 3 jenis gaya hidup:
- Gaya Hidup Bawah Kemampuan
- Gaya Hidup Mengikut Kemampuan
- Gaya Hidup Melebihi Kemampuan
GAYA HIDUP BAWAH KEMAMPUAN ialah gaya hidup yang perbelanjaannya kurang berbanding pendapatannya (Perbelanjaan < Pendapatan). Gaya hidup ini memberi kita peluang untuk menyimpan, yang mana hasil simpanan itu nanti membuka lebih banyak peluang kewangan yang baik. Selain itu, simpanan tersebut boleh dijadikan pinjaman, sedekah atau infaq yang memberi manfaat di akhirat kelak. Simpanan tersebut juga mampu meringankan beban yang ditanggung sekiranya mengalami kecelakaan.
Orang yang beramal dengan gaya hidup bawah kemampuan akan memastikan perbelanjaannya kurang berbanding pendapatannya, yang akan menghasilkan aliran tunai positif (+ve cashflow) dalam kewangannya. Aliran tunai positif bermaksud, kekayaan semakin bertambah dari semasa ke semasa.
Contohnya, jika pendapatan bulanannya RM500 dan perbelanjaan bulanannya RM450, maka aliran tunai bulanannya menjadi positif RM50. Maksudnya, setiap bulan, kekayaannya bertambah RM50. Jika setahun, kekayaannya sudah jadi RM600.
RM500/bulan (pendapatan) - RM450/bulan (perbelanjaan) = +RM50/bulan (aliran tunai positif)
GAYA HIDUP MENGIKUT KEMAMPUAN ialah gaya hidup yang perbelanjaannya bersamaan dengan pendapatannya (Perbelanjaan = Pendapatan). Gaya hidup ini menutup peluang seseorang untuk menyimpan. Apabila peluang untuk menyimpan tertutup, peluang kewangan yang baik juga turut tertutup. Seseorang tidak dapat memberi sedekah, infaq atau pinjaman. Jika berlaku kecelakaan padanya, dia tiada simpanan yang mampu meringankan bebannya.
Perbelanjaan orang yang beramal dengan gaya hidup mengikut kemampuan sama dengan pendapatannya, menyebabkan aliran tunainya sifar (0 cashflow) dalam kewangannya. Aliran tunai sifar bermaksud, kekayaan sama sahaja dari semasa ke semasa. Oleh sebab itu, dia sangat bergantung harap kepada pendapatan semasa dan sangat terdedah kepada risiko menghadapi masalah kewangan sekiranya mengalami kecelakaan.
Contohnya, jika pendapatan bulanannya RM500 dan perbelanjaan bulanannya juga RM500, maka aliran tunai bulanannya menjadi RM0. Maksudnya, setiap bulan, kekayaannya tidak bertambah dan tidak berkurang, sama sahaja. Itupun jika dia tidak mengalami kecelakaan.
RM500/bulan (pendapatan) - RM500/bulan (perbelanjaan) = RM0/bulan (aliran tunai 0)
GAYA HIDUP MELEBIHI KEMAMPUAN ialah gaya hidup yang perbelanjaannya melebihi pendapatannya (Perbelanjaan > Pendapatan). Gaya hidup ini menyeru masalah kewangan menimpa pengamalnya dan membawa pengamalnya ke #NerakaWang.
Orang yang beramal dengan gaya hidup melebihi kemampuan berbelanja melebihi pendapatannya, yang akan menghasilkan aliran tunai negatif (-ve cashflow) dalam kewangannya. Aliran tunai negatif bermaksud, kekayaan semakin berkurang dari semasa ke semasa. Selain itu, aliran tunai negatif bermaksud, hutang semakin bertambah dari semasa ke semasa.
Contohnya, jika pendapatan bulanannya RM500 dan perbelanjaan bulanannya RM501, maka aliran tunai bulanannya menjadi negatif RM1. Maksudnya, setiap bulan, kekayaannya berkurang RM1. Jika setahun, dia sudah berhutang RM12. Ini baru perbelanjaan bulannya lebih RM1/bulan. Bayangkan jika perbelanjaan bulanannya lebih puluhan ringgit atau ratusan ringgit. Semoga Allah melindungi kita daripada tergolong dalam golongan ini.
RM500/bulan (pendapatan) - RM501/bulan (perbelanjaan) = -RM1/bulan (aliran tunai negatif)
Kesimpulan
Jika kita ingin tingkatkan tahap kewangan kita atau menjadi kaya, antara perkara yang perlu kita perbaiki ialah gaya hidup kita. Gaya hidup kita mestilah bawah kemampuan kita, dengan maksud, perbelanjaan kita mestilah kurang berbanding pendapatan kita, yang akan menghasilkan aliran tunai positif dalam kewangan kita. Dengan adanya aliran tunai positif dalam kewangan kita, kita akan menghampiri kekayaan atau menjadi semakin kaya dari semasa ke semasa.
Pesan pakar kewangan, En. Azizi Ali Mentor Wang: "Menjadi kaya itu penting. Tetapi yang lebih penting ialah tidak jatuh miskin."
Pesan pakar kewangan, En. Azizi Ali Mentor Wang: "Menjadi kaya itu penting. Tetapi yang lebih penting ialah tidak jatuh miskin."
Comments
Post a Comment