Konsisten Menyimpan untuk Berkorban

Antara matlamat simpanan kewangan yang boleh disasarkan adalah bagi melaksanakan ibadah korban pada Hari Raya Korban (عيد الاضحى) nanti. Sebenarnya, banyak orang boleh laksanakan ibadah korban sekiranya bijak mengurus kewangan. Kita hanya perlu disiplinkan diri dengan menyimpan dan konsisten dalam menyimpan.


#1 - Mulakan dengan Niat dan Azam

Melakukan simpanan akan jadi lebih mudah dan termotivasi apabila kita ada tujuan dan matlamat simpanan tersebut. Berniat dan berazam untuk lakukan ibadah korban pada tahun hadapan. Keutamaan niat bukan sekadar ingin menukarkan suatu pekerjaan daripada adat kepada ibadat, bahkan menjadi tujuan dan matlamat yang secara sedar atau separa sedar kita akan lakukan tindakan untuk capai tujuan dan matlamat tersebut.


#2 - Kaji Harga dan Bahagian Korban

Tentukan bahagian korban yang kita mahu, contohnya: 1 ekor kambing atau 1 bahagian lembu; atau tentukan bajet maksima yang kita ingin gunakan untuk korban, contohnya: RM700 atau RM3500. Penentuan ini membantu kita dalam memotivasikan diri membuat simpanan, kerana kita nampak dan jelas akan tujuan dan matlamat simpanan tersebut.

Contoh harga tempahan binatang korban pada tahun 1440H. Pada tahun tersebut, saya lakukan korban 1 bahagian unta dan 1 ekor kambing.

#3 - Tukarkan Nilai Korban kepada Pecahan Kecil

Sebagai contoh, satu bahagian korban lembu sekarang (1440H) berharga sekitar RM600-RM700. Kita ambil harga pertengahan sebagai contoh: RM650.

RM650 dilihat sebagai suatu nilai yang besar untuk dicapai walaupun dalam tempoh setahun, bukan? Cuba kita ubah nilai dan tempoh tersebut, dan bahagikan kepada nilai dan tempoh yang dilihat kecil dan lebih mudah dicapai. Kita jadikannya bulanan.

RM650 ÷ 12 bulan = RM54.17/bulan

Maksudnya, untuk melaksanakan ibadah korban satu bahagian korban lembu, kita hanya perlu menyimpan RM54.17/bulan sahaja selama 12 bulan. Boleh simpan minima RM54.17 setiap bulan? Jika pendapatan bulanan kita RM300, RM54.17 hanyalah 18.06% sahaja daripada pendapatan tersebut; jika pendapatan kita RM1000/bulan, RM54.17 hanyalah 5.417% sahaja.

Semakin besar pendapatan, semakin kecil peratusan yang diperlukan untuk dijadikan simpanan korban, dan sebaliknya.

Jika RM54.17/bulan masih dilihat besar nilainya, kita boleh kecilkan dan bahagikan nilai dan tempoh tersebut kepada mingguan atau harian. Setelah dibundarkan, kita hanya perlukan menyimpan serendah RM2.00/hari sahaja. Sangat sedikit dan sangat mudah, bukan?

RM54.17 ÷ 30 hari = RM1.81/hari

Maksudnya, dengan menyimpan RM2.00 setiap hari selama setahun (tanpa gangguan inflasi atau kebocoran kewangan), kita boleh tunaikan ibadah korban satu bahagian korban lembu pada Hari Raya Korban nanti. Menyimpan RM2.00 setiap hari, budak sekolah rendah pun boleh lakukan! Sangat mudah!



#4 - Sediakan Tabung/Sampul Khas untuk Simpanan Korban

Asingkan wang simpanan untuk korban tersebut ke dalam tabung/sampul khas. Tabung/sampul ini hanya untuk wang simpanan korban sahaja, dan wang daripada tabung/sampul ini hanya boleh dikeluarkan untuk tujuan korban sahaja.

Jika kita nak buat simpanan secara harian, paksa diri kita masukkan wang simpanan korban ke dalam tabung/sampul simpanan korban tersebut setiap hari sehingga menjadi tabiat kita. Jika kita nak buat simpanan secara bulanan, paksa diri kita menyimpan setiap kali awal bulan.

Tip: Bagi yang selesa membuat simpanan secara harian (contoh: RM2.00/hari), saya cadangkan letak tabung/sampul tersebut di dalam bilik tidur. Setiap kali bangun pagi atau nak tidur malam setiap hari, masukkan wang simpanan korban tersebut ke dalam tabung/sampul tersebut.

Apabila sudah menjadi tabiat, kita akan terbiasa melakukannya tanpa perlu dipaksa atau diingatkan. Bahkan kita akan rasa kurang selesa jika tidak melakukannya.


#4 - Simpan dan Lupakan

Simpan dan lupakan nilai simpanan tersebut. Hanya semak simpanan tersebut apabila ingin buat pembelian dan pembayaran binatang korban apabila tiba masanya nanti pada tahun hadapan. JANGAN SEMAK dan JANGAN SESEKALI SENTUH simpanan tersebut selagi belum tiba masanya! Jika kita berdisiplin dan konsisten dalam melakukan simpanan tersebut, pasti nilai simpanan tersebut capai bajet yang telah kita hitung.

In syā' Allāh, dengan perancangan kewangan dan disiplin menyimpan yang betul sebegini, kita akan sentiasa dapat laksanakan ibadah korban setiap tahun. Semoga kita dapat melaksanakan ibadah korban setiap tahun, in syā' Allāh.

Comments

Popular posts from this blog

Kelebihan Perak Sebagai Simpanan Berbanding Emas

Akaun Perak Silver Accumulation Program (SAP) Public Gold

Easy Payment Purchase (EPP) Public Gold