Tentukan Keutamaan Perbelanjaan Anda!!!

Apabila mendapat pendapatan, perkara pertama yang biasanya banyak orang terfikir ialah ingin membuat perbelanjaan. Secara nalurinya, apabila seseorang mendapat pendapatan, dia akan cenderung untuk membelanjakan pendapatan tersebut. Lagipun, memang tujuan dijadikan mata wang fiat adalah untuk dibelanjakan, bukan untuk disimpan.

Dalam pengurusan kewangan yang baik, apabila seseorang mendapat pendapatan, perkara pertama yang dia perlu lakukan ialah menyimpan sebahagian daripada pendapatan tersebut terlebih dahulu. Setelah menyimpan sebahagian daripada pendapatan tersebut, barulah boleh digunakan baki daripada pendapatan tersebut untuk dibelanjakan. Untuk faham lebih lanjut, baca sini.

Sebelum melakukan sebarang perbelanjaan, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah tentukan dahulu keutamaan perbelanjaan yang ingin dilakukan, sama ada perbelanjaan tersebut suatu keperluan, kehendak, berlebih-lebihan atau pembaziran.

Bukan semua kehendak suatu keperluan. Suatu kehendak boleh jadi terdorong atas dasar keperluan, boleh juga jadi terdorong atas dasar nafsu. Orang bijak mengutamakan keperluan berbanding nafsu.


Perbelanjaan pada perkara KEPERLUAN terbahagi kepada 3 tingkatan:
  1. Perbelanjaan Dharuriy (ضرري)
  2. Perbelanjaan Hājiy (حاجي)
  3. Perbelanjaan Tahsīniy (تحسيني)

PERBELANJAAN DHARURIY (ضرري ialah perbelanjaan keperluan asas, yang MESTI dilakukan, jika tidak, akan memberi ancaman besar kepada kehidupan. Contohnya: pemakanan asasi, kos tempat tinggal asas, pakaian minima sekadar menutup aurat, kos pengajian utama minima.

PERBELANJAAN HĀJIY (حاجي) ialah perbelanjaan pada perkara keperluan yang jika tanpanya, tidaklah memberi ancaman besar kepada kehidupan, cuma kehidupan menjadi tidak selesa. Contohnya: alat komunikasi asas sekadar boleh berhubung, dan internet asas sekadar boleh bekerja.

PERBELANJAAN TAHSĪNIY (تحسيني) ialah perbelanjaan pada perkara keperluan yang jika tanpanya, tidak memberi ancaman besar kepada kehidupan, dan kehidupan tidak menjadi tidak selesa, cuma dengannya, kehidupan akan dirasakan sempurna. Contohnya: pemakanan sedap sekadar menghilangkan idam, pakaian cantik, dan internet laju untuk bekerja.


Perbelanjaan pada perkara BUKAN KEPERLUAN ada 2 keadaan:
  • Perbelanjaan Berlebih-lebihan (إسراف)
  • Perbelanjaan Pembaziran (تبذير)

PERBELANJAAN BERLEBIH-LEBIHAN (إسراف) ialah perbelanjaan yang dilakukan secara berlebih-lebihan atau keterlaluan sehingga melampaui batas, walaupun pada asalnya perbelanjaan tersebut suatu keperluan. Contohnya: berlebih-lebihan dalam pemakanan atau peminuman, iaitu, makan atau minum melebihi keperluan jasad, walaupun pada asalnya makan dan minum merupakan suatu keperluan.

Firman Allāh dalam Sūrah al-A`rāf ayat 31 dan terjemahannya:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.


PERBELANJAAN PEMBAZIRAN (تبذير) ialah perbelanjaan pada perkara bukan keperluan dan tidak dimanfaatkan. Contohnya: bermewah-mewahan dalam pemakanan, tempat tinggal dan pakaian, komitmen saluran televisyen yang tidak atau jarang ditonton.

Firman Allāh dalam Sūrah al-Isrā' ayat 27 dan terjemahannya:
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Kedua-dua perbelanjaan pembaziran dan perbelanjaan berlebih-lebihan membawa pengamalnya ke #NerakaWang. Daripada membazir atau berlebih-lebihan, lebih baiklah menyimpan atau melabur.


Kesimpulan

Sebelum melakukan sebarang perbelanjaan, tentukan dahulu keutamaan perbelanjaan tersebut. Hanya berbelanja pada perkara keperluan sahaja, dan elakkan berbelanja pada perkara bukan keperluan.

Antara buku yang membincangkan tentang keutamaan (priority)

Comments

Popular posts from this blog

Kelebihan Perak Sebagai Simpanan Berbanding Emas

Akaun Perak Silver Accumulation Program (SAP) Public Gold

Easy Payment Purchase (EPP) Public Gold