Islam & Perubatan

Islam meletakkan perubatan dan kesihatan di kedudukan yang tinggi sebagaimana aspek kehidupan yang lain. Malangnya, sekarang terdapat istilah-istilah yang berlegar dalam kalangan manusia yang maknanya tidak jelas dan mengelirukan, contohnya: 'Perubatan Islam', 'Perubatan Nabi (Thibb Nabawiy)' dan 'Perubatan Sunnah'.

Perubatan ialah ilmu yang tertegak atas kajian dan penyelidikan. Ia tidak terikat kepada agama seseorang pengamal perubatan. Contohnya, apabila seseorang makan makanan, makanan tersebut akan melalui saluran pemakanan dan penghadaman bermula dari mulut, oesophagus, perut, usus dan seterusnya, tanpa mengira agama orang tersebut. Semua sama sahaja laluannya.

Thibb Nabawiy (Perubatan Nabi) ialah suatu perubatan yang wujud semasa zaman Nabi, yang bermanfaat dan padanya banyak kebaikan, dan Nabi pernah amalkannya. Thibb Nabawiy bukanlah suatu perkara yang diturunkan dari langit, dan bukanlah wahyu dari sisi Allāh yang tidak boleh ke atasnya kesalahan atau kelemahan. Thibb Nabawiy hanyalah kajian manusia yang boleh terdedah kepada kelemahan atau kesalahan.

Hukum beramal dengan Thibb Nabawiy ialah harus. Sesiapa beramal dengan niat ingin mengikuti Nabi, diberi ganjaran pahala. Sebagaimana hukum pakai jubah ialah harus. Sesiapa pakai jubah dengan niat ingin mengikuti Nabi, diberi ganjaran pahala. Hal ini kerana kedua-duanya perkara adat yang diharuskan, hanya diberi ganjaran pahala jika berniat ingin mengikuti Nabi, jika tidak berniat, maka tiada ganjaran pahala.

Dalam Islam, tiada istilah 'Perubatan Islam', 'Perubatan Suci' atau seumpamanya. Perubatan ialah sains kejadian, dan sains kejadian tidak terikat kepada risalah langit atau agama. Perubatan adalah salah satu daripada urusan dunia yang termasuk dalam sabda Nabi yang bermaksud: "Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian".

Pelbagai dalil menunjukkan Islam sangat menitik-beratkan perubatan dan kesihatan, antaranya:

Berkaitan Kesihatan Umum

Daripada Al-Qur'ān:
"...Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan..." (Sūrah al-Baqarah, 2:195)
"...Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allāh sentiasa Mengasihani kamu." (Sūrah al-Nisā', 4:29)
"SesungguhNya Allāh mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri." (Sūrah al-Baqarah, 2:222)

Daripada Al-Hadīts:
"Sesungguhnya ada suatu hak ke atasmu bagi jasadmu"
"Mu'min kuat lebih baik dan lebih Allāh cintai berbanding mu'min lemah"
"Dua nikmat yang sering diabaikan kebanyakan manusia: kesihatan dan kelapangan"

Berkaitan Pensyariatan Berubat

"...Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allāh sentiasa Mengasihani kamu." (Sūrah al-Nisā', 4:29)
"Sesungguhnya Allāh menurunkan penyakit dan ubat, dan menjadikan bagi setiap penyakit suatu ubat. Maka berubatlah, dan janganlah berubat dengan yang haram."

Comments

Popular posts from this blog

Kelebihan Perak Sebagai Simpanan Berbanding Emas

Akaun Perak Silver Accumulation Program (SAP) Public Gold

Easy Payment Purchase (EPP) Public Gold