Ramadhān: Bulan Menyimpan & Bersedekah
Ramadhān merupakan antara bulan yang berlaku banyak sedekah padanya. Hal ini demikian kerana banyak orang akan meningkatkan sedekah dan amalan soleh di bulan yang barakah ini bagi meraih pahala berlipat ganda. Antara bentuk sedekah yang biasa diberikan ialah wang, makanan, minuman dan perkhidmatan (seperti memberi tumpang seseorang secara percuma).
Bagi yang MENERIMA SEDEKAH, keadaan ini sebenarnya merupakan suatu PELUANG bagi mereka untuk meningkatkan simpanan kewangan atau memperbanyakkan lagi sedekah.
Sebagai contoh, seseorang telah memperuntukkan sejumlah wang untuk berbelanja berbuka puasa. Tiba-tiba, datang seorang dermawan kepadanya dan memberikannya juadah berbuka puasa yang mencukupi.
Maka, wang peruntukan berbelanja berbuka tersebut perlu dijadikan simpanan atau disedekahkan kepada orang lain. Amalan ini akan meningkatkan simpanan kewangan seseorang (sekiranya wang tersebut disimpan) atau meningkatkan pahala seseorang (sekiranya wang tersebut disedekahkan kepada orang lain).
JANGAN BAZIRKAN PELUANG tersebut dengan membelanjakan wang tersebut pada perkara yang tidak perlu atau tidak penting (seperti membeli juadah tambahan sedangkan juadah sedia ada sudah mencukupi).
Contoh lain, seseorang telah memperuntukkan sejumlah wang untuk tambang ke suatu destinasi. Tiba-tiba, datang seorang yang baik hatinya memberi seseorang tumpang menuju ke destinasi secara percuma.
Maka, wang peruntukan tambang tersebut perlu dijadikan simpanan atau disedekahkan kepada orang lain.
JANGAN BAZIRKAN WANG tersebut dengan membelanjakannya pada perkara yang tidak perlu atau tidak penting (seperti membeli barang yang tidak perlu atau tidak penting yang dilihat).
Kesimpulannya, jadikan Ramadhān bulan untuk kita perbaiki kewangan kita, tingkatkan simpanan kita, atau perbanyakkan sedekah kita.
Semoga setiap amalan yang dilakukan di bulan yang mulia ini diterima oleh Allāh; dan semoga kita meraih keuntungan bukan sahaja di akhirat, bahkan di dunia.
Ulasan
Catat Ulasan