Menyimpan Emas & Silver: Dilarang dalam Islām?

Sepanjang saya mengajak dan mengajar orang menyimpan emas dan silver, pernah beberapa kali saya terjumpa beberapa orang yang memberi respon negatif dengan menyatakan bahawa Islām melarang menyimpan emas dan silver dan hukumnya haram.

"Islam melarang simpan emas dan perak. Haram hukumnya! Doktor tak mengaji hukum ke?! Jangan gila harta dan dunia sampai tak kenal hukum!"

Adakah benar Islām melarang menyimpan emas dan silver? Jika benar, apakah dalilnya?

Maka, kebanyakan mereka memberikan ayat Al-Qur'ān berikut sebagai hujah mereka menyatakan Islām melarang menyimpan emas dan silver:

۞ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِنَّ كَثِیرࣰا مِّنَ ٱلۡأَحۡبَارِ وَٱلرُّهۡبَانِ لَیَأۡكُلُونَ أَمۡوَ ٰ⁠لَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَیَصُدُّونَ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِۗ وَٱلَّذِینَ یَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا یُنفِقُونَهَا فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِیمࣲ۝ یَوۡمَ یُحۡمَىٰ عَلَیۡهَا فِی نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكۡوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمۡ وَجُنُوبُهُمۡ وَظُهُورُهُمۡۖ هَـٰذَا مَا كَنَزۡتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡ فَذُوقُوا۟ مَا كُنتُمۡ تَكۡنِزُونَ۝
Wahai orang yang mengimani! Sesungguhnya banyak antara pendeta dan rahib (Yahudi dan Nasrani) memakan harta manusia secara bathil, dan mereka menghalangi (manusia) daripada jalan Allāh (Islām). Dan (mereka) yang menyimpan emas dan perak serta tidak menginfaqkannya di jalan Allāh, maka khabar gembirakanlah kepada mereka dengan (balasan) seksaan yang tidak terperi sakitnya.(Pada) hari dibakar (emas dan perak simpanan yang tidak diinfaqkan di jalan Allāh tersebut) dalam api (Neraka) Jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka, (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa-apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (seksaan daripada) apa-apa yang kamu simpan.

Adakah benar ayat tersebut melarang umat Islām menyimpan emas dan silver? Adakah larangan tersebut larangan mandatori, tanpa terikat kepada sesuatu? Jika benar ayat tersebut melarang menyimpan emas dan silver, mengapakah para sahabat Rasūl-Allāh menyimpan bahkan terlalu banyak emas dan silver, dan mereka dijamin syurga?

Berikut antara contoh betapa banyaknya simpanan emas atau silver sebahagian daripada sahabat Rasūl-Allāh:
  • Abū Bakr memerdekakan Bilāl ibn Rabah daripada Umayyah ibn Khalaf dengan bayaran 100 `uqiyyah (bersamaan 11.9 kilogram) emas.
  • Semasa hijrah ke Yatsrib, setelah menginfaqkan 35,000 dirham (bersamaan 104.125 kilogram) perak, Abū Bakr membawa 5,000 dirham (bersamaan 14.875 kilogram) perak bersamanya.
  • `Utsmān ibn `Affān membebaskan Telaga Pemanah (Bi'r Rummah) dengan harga 20,000 dirham (bersamaan 59.5 kilogram) perak.
  • Keseluruhan harta Zubayr ibn al-`Awwām ketika kewafatannya berjumlah 50.2 juta dinar (bersamaan 213.35 tan) emas.
Nah! Betapa jauhnya beza kita dengan para sahabat. Para sahabat kaya-raya dan mereka dijamin syurga, sedangkan kita miskin papa tetapi tiada jaminan syurga.


"Contoh yang doktor berikan tu contoh infaq para sahabat, bukan contoh simpanan mereka."

Ya, memang sengaja saya beri contoh infaq para sahabat, bagi menggambarkan betapa banyaknya simpanan mereka. Sebelum nak melakukan sebarang infaq harta, simpanan harta tersebut mestilah ada. Seseorang tidak boleh menginfaqkan harta yang dia tidak miliki. Kata-kata hikmah Arab ada menyatakan:
"فاقد الشيء لا يعطيه"
Orang yang tidak memiliki sesuatu, tidak mampu memberinya (sesuatu tersebut).

Maksudnya, sebagai contoh, orang yang tidak memiliki 100 `uqiyyah emas tidak mampu memberi 100 `uqiyyah emas; orang yang tidak memiliki 20,000 dirham perak tidak mampu memberi 20,000 dirham perak. Hanya orang yang memiliki sesuatu mampu memberi sesuatu tersebut.

Jika diteliti ayat al-Qur'ān tadi juga, perkataan 'يكنزون (menyimpan)' disebut dahulu berbanding perkataan 'ينفقون (menginfaqkan)'. Perkataan 'يكنزون' didahulukan, kemudian baru disusuli dengan perkataan 'ينفقون', menggambarkan simpanan perlu dilakukan dahulu sebelum infaq.

Selain itu, kebiasaannya, seseorang tidak akan memberikan keseluruhan harta yang dia miliki. Harta yang diberikan hanyalah sebahagian daripada keseluruhan harta yang dimiliki, dan keseluruhan harta yang dimiliki lebih banyak berbanding harta yang diberikan.

Maksudnya, sebagai contoh, jika seseorang memberi 100 `uqiyyah emas, kebiasaannya dia miliki harta keseluruhan melebihi 100 `uqiyyah emas; jika seseorang memberi 20,000 dirham perak, kebiasaannya dia miliki harta keseluruhan melebihi 20,000 dirham perak.

Kita kembali kepada persoalan tadi: adakah Islām melarang umatnya menyimpan emas dan silver? Jika ya, adakah larangan tersebut larangan mandatori, tanpa terikat kepada sesuatu?

Saya rasa, tidak perlulah saya penat berfikir atau bersyarah panjang lebar. Cukup sekadar saya sertakan tafsiran ayat tersebut oleh Abd-Allāh ibn `Umar ibn al-Khaththāb:

حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ سَوَّادٍ الْمِصْرِيُّ، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ وَهْبٍ، عَنِ ابْنِ لَهِيعَةَ، عَنْ عُقَيْلٍ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، حَدَّثَنِي خَالِدُ بْنُ أَسْلَمَ، مَوْلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ خَرَجْتُ مَعَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ فَلَحِقَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ لَهُ قَوْلُ اللَّهِ ‏{وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلاَ يُنْفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ}‏ قَالَ لَهُ ابْنُ عُمَرَ مَنْ كَنَزَهَا فَلَمْ يُؤَدِّ زَكَاتَهَا فَوَيْلٌ لَهُ إِنَّمَا كَانَ هَذَا قَبْلَ أَنْ تُنْزَلَ الزَّكَاةُ فَلَمَّا أُنْزِلَتْ جَعَلَهَا اللَّهُ طَهُورًا لِلأَمْوَالِ ‏.‏ ثُمَّ الْتَفَتَ فَقَالَ مَا أُبَالِي لَوْ كَانَ لِي أُحُدٌ ذَهَبًا أَعْلَمُ عَدَدَهُ وَأُزَكِّيهِ وَأَعْمَلُ فِيهِ بِطَاعَةِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ ‏.‏
Mafhumnya: Khālid ibn Aslam, mawla (hamba yang telah dibebaskan) `Umar ibn Al-Khaththāb, berkata: "Aku telah keluar bersama Abd-Allāh ibn `Umar, lalu seorang Arab Badawiy telah berjumpanya lalu dia (Arab Badawiy tersebut) berkata (membacakan) kepadanya (Abd-Allah ibn `Umar) firman Allāh: "Dan (orang) yang menyimpan emas dan perak dalam keadaan mereka tidak membelanjakannya di jalan Allāh". Ibn `Umar berkata kepadanya: "Sesiapa yang menyimpannya (emas dan perak) dan tidak menunaikan zakatnya (emas dan perak tersebut), maka kecelakaan baginya. (Namun) bahawasanya (hukum) ini sebelum diturunkan (diwahyukan) zakat; maka apabila (zakat) telah diturunkan (diwahyukan), Allāh menjadikannya suatu penyucian bagi harta-harta". Kemudian (Arab Badawiy tersebut) beredar lalu dia berkata: "Aku tidak kisah kalau bagiku (sebesar) Uhud (daripada) emas (memiliki dan menyimpan emas sebesar Uhud)(selagimana) aku tahu bilangannya dan aku menzakatkannya dan aku beramal padanya dengan ketaatan kepada Allāh".

Kesimpulannya, Islām tidak melarang umatnya menyimpan emas dan silver kendati simpanan emas dan silver tersebut sebanyak dan sebesar Uhud, selagimana menyempurnakan syarat berikut:
  • Menunaikan zakat emas dan silver simpanan tersebut
  • Menggunakan emas dan silver simpanan tersebut pada ketaatan kepada Allāh

Semoga kita diberi kekayaan oleh Allāh Yang-Maha Kaya, menunaikan zakat kekayaan tersebut, dan menggunakan kekayaan tersebut pada ketaatan kepada Allāh.

Allāh a`lam

Comments

Popular posts from this blog

Kelebihan Perak Sebagai Simpanan Berbanding Emas

Akaun Perak Silver Accumulation Program (SAP) Public Gold

Easy Payment Purchase (EPP) Public Gold