Item Simpanan/Pelaburan atau Item Perhiasan?


Antara kesalahan banyak pembeli emas atau perak ialah mereka memilih dan membeli item yang salah atau tidak sesuai dengan tujuan mereka membeli emas atau perak. Sebagai contoh, tujuan mereka beli emas atau perak adalah untuk simpanan kewangan atau pelaburan, namun item yang mereka pilih dan beli ialah item perhiasan atau barang kemas, bukan item simpanan atau pelaburan.

"Apakah perbezaan item perhiasan dengan item simpanan atau pelaburan?"


ITEM SIMPANAN/PELABURAN VS ITEM PERHIASAN

Ada beberapa perbezaan antara item simpanan atau pelaburan dengan item perhiasan, antaranya::
  • Fungsi & Tujuan Penghasilan
  • Bentuk & Reka Bentuk (Design)
  • Ketulenan
  • Penilaian Harga
  • Spread (Selisih Harga)
  • Ruang Simpanan
  • Kemas Kini Harga (Price Update)
  • Kemudah-Alihan Antarabangsa (International Portability)

πŸ’FUNGSI & TUJUAN PENGHASILAN
Fungsi dan tujuan penghasilan item perhiasan atau barang kemas adalah untuk berhias, manakala fungsi dan tujuan penghasilan item simpanan atau pelaburan adalah untuk simpanan, pelaburan atau insurans kewangan. Oleh sebab fungsi dan tujuan penghasilan tersebut, ciri-ciri bagi kedua-dua item tersebut perlulah bersesuaian mengikut fungsi dan tujuan penghasilan mereka.


πŸ’BENTUK & REKA BENTUK (DESIGN)
Item simpanan atau pelaburan biasanya berbentuk wafer, jongkong atau syiling, manakala item perhiasan atau barang kemas ada pelbagai bentuk, contohnya: cincin, rantai, gelang, subang, loket, mahkota, tiara.

Reka bentuk (design) item simpanan atau pelaburan biasanya sama dan distandardkan (standardized), manakala item perhiasan atau barang kemas berbeza-beza reka bentuknya antara satu dengan yang lain, daripada seringkas-ringkas reka bentuk, kepada sehalus-halus reka bentuk.


πŸ’KETULENAN
item simpanan atau pelaburan biasanya berketulenan 995 (99.5%) ke atas atau 24 karat (24K) bagi kedua-dua emas dan perak, manakala ketulenan item perhiasan atau barang kemas biasanya 22 karat (22K) ke bawah: Au916 (91.6%) ke bawah bagi emas, dan Ag925 (92.5%) ke bawah bagi perak.

Oleh sebab item perhiasan atau barang kemas dihasilkan untuk dipakai dan digunakan sebagai barang kemas dan perhiasan, maka ia perlulah tahan lasak, tidak mudah kemek, calar, bengkok atau patah. Jadi, item perhiasan atau barang kemas perlulah dialoikan dan dikurangkan ketulenannya supaya lebih keras dan tahan lasak. Semakin halus reka bentuk suatu item perhiasan, semakin perlu dialoikan dan dikurangkan ketulenannya.

Sebagai contoh, untuk menghasilkan reka bentuk yang unik dan halus, barang kemas Aurora Italia perlulah dialoikan dan dikurangkan ketulenannya kepada serendah 18 karat (18K) atau Au750 (75%).

Berbeza dengan item simpanan atau pelaburan. Item simpanan atau pelaburan dihasilkan untuk dijadikan simpanan atau insuran kewangan atau pelaburan atas nilai intrinsik item tersebut. Jadi, item tersebut sebaiknya memiliki ketulenan tertinggi. Item simpanan atau pelaburan biasanya disimpan, tidak dipakai dan tidak didedahkan kepada situasi lasak. Jadi, tiada keperluan bagi item simpanan atau perhiasan dialoikan untuk dikeraskan.


πŸ’PENILAIAN HARGA
Harga item simpanan atau pelaburan dinilai berdasarkan berat dan ketulenan, manakala harga bagi item perhiasan atau barang kemas dinilai berdasarkan berat, ketulenan, upah tempa, reka bentuk dan lain-lain. Hal ini membuatkan harga pergram item perhiasan atau barang kemas biasanya lebih tinggi berbanding item simpanan atau pelaburan yang sama berat dan ketulenan.


πŸ’SPREAD (SELISIH HARGA)
Kalau belum tahu spread itu apa, boleh baca artikel saya 'Kriteria Emas atau Perak Simpanan atau Pelaburan Terbaik' ini untuk faham berkaitan spread.

Spread bagi item simpanan atau pelaburan biasanya lebih rendah berbanding spread item perhiasan atau barang kemas, sekitar 5% - 10% bagi emas dan 12% - 16% bagi perak. Spread item perhiasan atau barang kemas biasanya lebih tinggi berbanding item simpanan atau pelaburan, sekitar 25% - 40%.

Oleh sebab spread item perhiasan atau barang kemas jauh lebih tinggi berbanding item simpanan atau pelaburan, item perhiasan atau barang kemas tidak sesuai dijadikan simpanan atau insurans kewangan atau pelaburan.

"Tetapi saya pernah dengar ada orang untung dengan barang kemas yang dia simpan."

Ya, memang ada orang yang masih dapat untung dengan menyimpan item perhiasan atau barang kemas, namun ia memerlukan jangka masa yang sangat panjang dan kenaikan harga yang sangat tinggi. Selain itu, jika dia boleh dapat untung dengan simpanan barang kemas, dia sebenarnya akan boleh dapat lebih banyak untung kalau dia simpan item simpanan atau pelaburan.


πŸ’RUANG SIMPANAN
Untuk item perhiasan atau barang kemas biasanya memerlukan ruang simpanan yang lebih besar berbanding item simpanan atau pelaburan. Item simpanan atau pelaburan lebih jimat ruang simpanan.


πŸ’KEMAS KINI HARGA (PRICE UPDATE)
Item simpanan atau pelaburan lebih sensitif pada perubahan harga lani emas atau perak mentah dunia, menyebabkan harganya kerap dan cepat dikemas kini. Item perhiasan atau barang kemas kurang sensitif pada perubahan harga lani emas atau perak mentah dunia, jadi kemas kini harganya agak jarang dan perlahan.


πŸ’KEMUDAH-ALIHAN ANTARABANGSA (INTERNATIONAL PORTABILITY)
Bagi item simpanan atau pelaburan, ada beberapa negara mengadakan sekatan kastam ke atas item simpanan atau pelaburan jika item tersebut ingin dibawa masuk atau keluar negara tersebut.

Bagi item perhiasan atau barang kemas, biasanya akan lebih mudah melepasi kastam, lebih-lebih lagi jika item tersebut dipakai.

.


"Item mana satu yang sesuai bagi saya?"

Nak tahu item yang sesuai bagi anda, perlu tahu dahulu tujuan anda nak beli emas atau perak.

Kalau tujuan anda nak beli emas atau perak adalah untuk dijadikan simpanan atau insurans kewangan atau pelaburan, maka item yang sesuai bagi anda ialah item simpanan atau pelaburan seperti wafer, syiling atau jongkong.

Kalau tujuan anda nak beli emas atau perak adalah untuk berhias dan kelihatan cantik, maka item yang sesuai bagi anda ialah item perhiasan atau barang kemas.

Jadi, tentukan dahulu tujuan anda nak beli emas atau perak sebelum anda beli suatu produk emas atau perak, agar anda tidak tersalah pilih dan tersalah beli produk yang tidak sesuai dengan tujuan anda.

Inilah secara ringkas perbezaan antara item perhiasan dengan item simpanan atau pelaburan. Semoga dengan penerangan ringkas ini, dapat membantu anda membuat memilih dan membuat item yang sesuai dengan tujuan dan keperluan anda.

Jika ada apa-apa persoalan atau masih kurang jelas, boleh hubungi saya bila-bila masa di nombor berhubung saya di mana-mana aplikasi sosial atau media sosial saya (WhatsApp/Telegram/Facebook/Instagram/Twitter). in syā’ Allāh, saya akan bimbing dan bantu berdasarkan ilmu saya.

Comments

Popular posts from this blog

Kelebihan Perak Sebagai Simpanan Berbanding Emas

Akaun Perak Silver Accumulation Program (SAP) Public Gold

Easy Payment Purchase (EPP) Public Gold