Zakat Emas & Perak

Islām ialah cara hidup (al-Dīn) yang lengkap dan sempurna, meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Islām bukanlah agama yang hanya meliputi aspek kepercayaan dan ibadah ritual sahaja, bahkan Islām meliputi seluruh perkara, baik dari aspek kesihatan, kemasyarakatan, ekonomi, politik dan lain-lain.


KEWAJIPAN ZAKAT EMAS & SILVER

Salah satu rukun daripada 5 Rukun Islām ialah menunaikan zakat. Berdasarkan hadīts berikut, penunaian zakat ialah rukun Islām yang ke-3.


بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَحَجِّ الْبَيْتِ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Terbinanya Islām atas lima (5)(perkara): penyaksian bahawa tiada tuhan selain Allāh, dan bahawasanya Muhammad ialah Rasūl-Allāh; pembangunan sembahyang; penunaian zakat; haji di al-Bayt; dan puasa Ramadhān.
Sumber


ANCAMAN TIDAK MENUNAIKAN ZAKAT

Dalam al-Qur'ān, Allāh memberi ancaman kepada mereka yang menyimpan emas dan silver tetapi tidak menunaikan zakat emas dan silver simpanan tersebut:


۞ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِنَّ كَثِیرࣰا مِّنَ ٱلۡأَحۡبَارِ وَٱلرُّهۡبَانِ لَیَأۡكُلُونَ أَمۡوَ ٰ⁠لَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَیَصُدُّونَ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِۗ وَٱلَّذِینَ یَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا یُنفِقُونَهَا فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِیمࣲ ۝  یَوۡمَ یُحۡمَىٰ عَلَیۡهَا فِی نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكۡوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمۡ وَجُنُوبُهُمۡ وَظُهُورُهُمۡۖ هَـٰذَا مَا كَنَزۡتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡ فَذُوقُوا۟ مَا كُنتُمۡ تَكۡنِزُونَ۝ 
Wahai orang yang mengimani! Sesungguhnya banyak antara pendeta dan rahib (Yahudi dan Nasrani) memakan harta manusia secara bathil, dan mereka menghalangi (manusia) daripada jalan Allāh (Islām). Dan (mereka) yang menyimpan emas dan perak serta tidak menginfaqkannya di jalan Allāh, maka khabar gembirakanlah kepada mereka dengan (balasan) seksaan yang tidak terperi sakitnya.(Pada) hari dibakar (emas dan perak simpanan yang tidak diinfaqkan di jalan Allāh tersebut) dalam api (Neraka) Jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka, (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa-apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (seksaan daripada) apa-apa yang kamu simpan.

Selain itu, terdapat juga hadīts yang memberi ancaman kepada mereka yang tidak menunaikan zakat:

يَكُونُ كَنْزُ أَحَدِكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ شُجَاعًا أَقْرَعَ
'Kanz' (harta yang diwajibkan zakat ke atasnya tetapi tidak ditunaikan) seseorang daripada kalian pada Hari Kiamat akan menjadi seekor ular jantan beracun berkepala botak.



PERKIRAAN ZAKAT SILVER & EMAS

‏ قَدْ عَفَوْتُ عَنْ صَدَقَةِ الْخَيْلِ وَالرَّقِيقِ فَهَاتُوا صَدَقَةَ الرِّقَةِ مِنْ كُلِّ أَرْبَعِينَ دِرْهَمًا دِرْهَمًا وَلَيْسَ فِي تِسْعِينَ وَمِائَةٍ شَيْءٌ فَإِذَا بَلَغَتْ مِائَتَيْنِ فَفِيهَا خَمْسَةُ الدَّرَاهِمِ
Sesungguhnya aku (Rasūl-Allāh) telah memaafkan (mengecualikan‏) sedekah (zakat) kuda dan hamba, maka kalian berikanlah sedekah (zakat) sebahagian daripada setiap empat puluh (40) dirham: satu (1) dirham; dan bukanlah pada seratus sembilan puluh (190) sesuatu (sebagai zakat); maka apabila ia (dirham tersebut) telah sampai (cukup) dua ratus (200), maka padanya lima (5) dirham (sebagai zakat).
Sumber

إِذَا كَانَتْ لَكَ مِائَتَا دِرْهَمٍ ‏-وَحَالَ عَلَيْهَا اَلْحَوْلُ‏- فَفِيهَا خَمْسَةُ دَرَاهِمَ, وَلَيْسَ عَلَيْكَ شَيْءٌ حَتَّى يَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا, وَحَالَ عَلَيْهَا اَلْحَوْلُ, فَفِيهَا نِصْفُ دِينَارٍ, فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ, وَلَيْسَ فِي مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ اَلْحَوْلُ
Apabila bagimu dua ratus (200) dirham, dan telah cukup ke atasnya setahun, maka padanya lima (5) dirham (sebagai zakat); dan bukanlah ke atasmu sesuatu (sebagai zakat) sehinggalah bagimu dua puluh (20) dinar, dan telah cukup ke atasnya setahun, maka padanya setengah (½) dinar (sebagai zakat). Apa-apa pertambahan (pada dinar atau dirham tersebut), maka (zakatnya) dengan perkiraan (yang dinyatakan) itu. Dan bukanlah pada suatu harta suatu zakat sehinggalah cukup ke atasnya setahun.

Menurut Glosari Muamalat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), nishāb dan hawl didefinisikan seperti berikut:
Nishāb (نصاب)Kadar minimum untuk nilai, sukatan, timbangan atau bilangan bagi beberapa kategori harta benda yang wajib dikenakan zakat.
Hawl (حول): Genap masa satu tahun hijri (untuk membayar zakat).

Berdasarkan hadits tersebut, dapat kita rumuskan seperti berikut:

Zakat Silver
Nishāb: 200 dirham × 2.975 gram/dirham = 595 gram
Hawl: 1 tahun qamariy () = 354 hari
Nisbah: 5 dirham ÷ 200 dirham × 100 = 2.5%

Zakat Emas
Nishāb: 20 dinar × 4.25 gram/dinar = 85 gram
Hawl: 1 tahun qamariy () = 354 hari
Nisbah: 1/2 dinar ÷ 20 dinar × 100 = 2.5%


TARGET CAPAI NISHĀB ZAKAT EMAS & SILVER

Cadangan saya, jika anda penyimpan silver, letak target supaya simpanan silver anda capai nishāb zakat silver 595 gram dalam masa 12 bulan (1 tahun). Caranya mudah sahaja: anda hanya perlu konsisten simpan silver serendah 50 gram sebulan. Kalau boleh simpan lebih daripada 50 gram sebulan, akan lebih cepat lagi capai nishāb. Namun kalau tak mampu simpan 50 gram sebulan, simpanlah seberapa banyak yang anda mampu. Selagimana anda konsisten menyimpan walaupun sedikit, pasti akan capai juga nishāb walaupun lambat. Cepat atau lambat tak penting, yang penting niat anda untuk menjadi pembayar zakat silver dan simpanan silver anda bertambah.

Nishāb Zakat Silver: 595 gram
Simpanan Bulanan: 50 gram
Target: 12 bulan = 1 tahun

50 gram/bulan × 12 bulan (1 tahun) = 600 gram


Bagi penyimpan emas pula, letak target supaya simpanan emas anda capai nishāb zakat emas 85 gram dalam masa 85 bulan (7 tahun 1 bulan). Caranya mudah sahaja: anda hanya perlu konsisten simpan emas serendah 1 gram sebulan. Kalau boleh simpan lebih daripada 1 gram sebulan, akan lebih cepat lagi capai nishab. Namun kalau tak mampu simpan 1 gram sebulan, simpanlah seberapa banyak yang anda mampu. Selagimana anda konsisten menyimpan walaupun sedikit, pasti akan capai juga nishāb walaupun lambat. Cepat atau lambat tak penting, yang penting niat anda untuk menjadi pemberi zakat emas dan simpanan emas anda bertambah.

Nishāb Zakat Emas: 85 gram
Simpanan Bulanan: 1 gram
Target: 7 tahun 1 bulan = 85 bulan

1 gram/bulan × 85 bulan = 85 gram


Semoga perkongsian saya ini dapat memberi pencerahan dan membantu anda dalam menjadi pemberi zakat emas dan silver dan menunaikan ibadah zakat emas dan silver, in syā' Allāh.


Comments

Popular posts from this blog

Kelebihan Perak Sebagai Simpanan Berbanding Emas

Akaun Perak Silver Accumulation Program (SAP) Public Gold

Easy Payment Purchase (EPP) Public Gold