Ashhāb al-Kahf & Mata Wang Perak
Kisah 'Ashhāb al-Kahf' (أصحاب الكهف) antara kisah orang terdahulu (قصص السابقين) yang diceritakan dalam al-Qur'ān, dan termasuk dalam kisah-kisah realistik (القصص الحق) dan perkara ghaib masa lalu (غائب ماض) yang wajib ke atas setiap muslim beriman kepadanya.
Antara adegan yang dirakamkan dalam al-Qur'ān tentang Ashhāb al-Kahf adalah keadaan selepas mereka dibangkitkan daripada tidur mereka dan penggunaan mata wang perak oleh mereka sebagaimana firman Allāh:
وَكَذَ ٰلِكَ بَعَثۡنَـٰهُمۡ لِیَتَسَاۤءَلُوا۟ بَیۡنَهُمۡۚ قَالَ قَاۤىِٕلࣱ مِّنۡهُمۡ كَمۡ لَبِثۡتُمۡۖ قَالُوا۟ لَبِثۡنَا یَوۡمًا أَوۡ بَعۡضَ یَوۡمࣲۚ قَالُوا۟ رَبُّكُمۡ أَعۡلَمُ بِمَا لَبِثۡتُمۡ فَٱبۡعَثُوۤا۟ أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمۡ هَـٰذِهِۦۤ إِلَى ٱلۡمَدِینَةِ فَلۡیَنظُرۡ أَیُّهَاۤ أَزۡكَىٰ طَعَامࣰا فَلۡیَأۡتِكُم بِرِزۡقࣲ مِّنۡهُ وَلۡیَتَلَطَّفۡ وَلَا یُشۡعِرَنَّ بِكُمۡ أَحَدًا
Dan demikianlah Kami telah bangkitkan mereka (daripada tidur mereka), supaya mereka saling bertanya sesama mereka. Salah seorang antara mereka telah berkata (bertanya): "Berapa lamakah kalian telah tidur?" (sebahagian daripada) mereka telah berkata (menjawab): "Kami telah tidur (selama) sehari atau sebahagian daripada sehari". (Sebahagian lagi daripada) mereka berkata (menjawab): "Tuan kalian lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; maka (sekarang) bangkitlah (utuslah) salah seorang daripada kalian dengan wang perak kalian ini ke bandar; kemudian hendaklah dia memerhati (mencari dan memilih) mana-mana makanan (yang terjual di situ) yang lebih suci (halal lagi baik); kemudian hendaklah dia mendatangi (membawa pulang kepada) kalian dengan suatu rezeki daripadanya; dan hendaklah dia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia (melakukan sesuatu yang) menyedarkan (walau) seorang pun akan perihal kalian.
[Sūrat al-Kahf, 18:19]
Selepas kebangkitan mereka daripada tidur mereka selama 300 tahun dan saling bersoal-jawab antara mereka tentang tempoh masa mereka telah tidur, mereka mengutuskan salah seorang daripada mereka untuk membeli makanan dengan berbekalkan mata wang perak (silver currency, وَرِق) milik mereka. Daripada adegan ini, boleh kita dapati bahawa mata wang perak telah lama digunakan dalam tamadun dan peradaban manusia.
Tambahan pula, walaupun ratusan tahun telah berlalu, dan tempat dan sosiobudaya masyarakat berbeza, mata wang perak Ashhāb al-Kahf masih bernilai, masih mampu dan masih diterima sebagai medium pertukaran untuk membeli makanan.
Mata Wang Mereka vs Mata Wang Kita
Jika kita bandingkan dengan mata wang kertas yang kita gunakan sekarang dan pernah gunakan dahulu, kita dapati mata wang kertas tersebut hanya laku dan diterima sebagai medium pertukaran pada masa tertentu dan tempat tententu sahaja.
Kita ambil Ringgit Malaysia (MYR) sebagai contoh. Dahulu, nota bank RM20 pernah diterima sebagai medium pertukaran. Namun kini ia sudah tidak diterima lagi. Selain itu, Ringgit Malaysia hanya laku dan diterima sebagai medium pertukaran di Malaysia dan beberapa buah negara sahaja, tidak di seluruh negara. Lebih teruk lagi, kita dapati nilai dan kuasa beli Ringgit Malaysia susut dari tahun ke tahun.
Mengapakah perkara ini terjadi?
Jawapannya, kerana konsep mata wang yang digunakan berbeza. Mata wang kertas yang kita gunakan sekarang berkonsepkan mata wang fiat (fiat currency), manakala mata wang silver yang Ashhāb al-Kahf gunakan berkonsepkan mata wang komoditi (commodity currency).
Mata Wang Komoditi
Konsep mata wang komoditi meletakkan nilai suatu mata wang pada fizikal dan material mata wang tersebut seperti unsur, berat dan ketulenan. Dengan kata lain, mata wang komoditi dinilai berdasarkan nilai intrinsik mata wang tersebut.
Sebagai contoh, jika 1 dirham (2.975 gram) perak berketulenan 24K (Ag999), maka nilainya ialah nilai perak seberat 2.975 gram (1 dirham) berketulenan Ag999 (24K); jika 1 dinar (4.25 gram) emas berketulenan 22K (Au916), maka nilainya ialah nilai emas seberat 4.25 gram (1 dinar) berketulenan Au916 (22K). Jika 1 dirham tersebut dileburkan atau dihancurkan menjadi ketulan-ketulan kecil, ia masih bernilai 1 dirham (2.975 gram) perak berketulenan 24K (Ag999), selagimana berat dan ketulenannya masih sama.
Mata Wang Fiat
Konsep mata wang fiat. meletakkan nilai suatu mata wang bukan pada fizikal atau material mata wang tersebut, tetapi pada jaminan pengeluarnya (bank atau kerajaan) tanpa disandarkan kepada apa-apa komoditi, dan pada kepercayaan orang terhadapnya. Dengan kata lain, nilai mata wang fiat bukan pada nilai intrinsiknya, tetapi pada kepercayaan orang bahawa ia bernilai. Jika hilang kepercayaan orang terhadap suatu mata wang fiat, maka hilanglah nilai mata wang fiat tersebut kepada nilai intrinsiknya.
Sebagai contoh, nota bank RM100 nilainya bukan pada fizikal dan material nota bank tersebut, tetapi pada jaminan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kerajaan Malaysia bahawa ia sah diperlakukan di Malaysia dengan nilai RM100. Jika nota bank RM100 tersebut dikoyak-koyak menjadi cebisan-cebisan kecil, ia tidak lagi bernilai sebagaimana nota bank RM100 yang sempurna sifatnya.
Pandang Alam Islām & Sains Alam Berkaitan Mata Wang
Konsep mata wang komoditi menepati Pandang Alam Islām (Worldview of Islam, ِرُؤْيَة الْإِسْلَامِ للِْوُجُود) dalam mata wang yang meletakkan Allāh sebagai al-Khāliq (The Creator, الخَالِق) dan manusia hanyalah makhlūq (مَخْلُوق), dan mematuhi Undang-Undang Pertukaran Setara (Law of Equivalent Exchange).
Undang-Undang Pertukaran Setara menyatakan, "Untuk memperoleh atau mencipta sesuatu, sesuatu yang sama nilai mesti dihilangkan atau dimusnahkan (in order to obtain or create something, something of equal value must be lost or destroyed)."
Undang-Undang Pemuliharaan Jisim & Tenaga (Law of Conservation of Mass & Energy), cabang daripada Undang-Undang Pertukaran Setara juga menyatakan, "Jisim dan tenaga tidak dapat diciptakan daripada ketiadaan apa-apa atau dimusnahkan sehingga ke titik ketiadaan unsur (energy and matter can neither be created from nothing nor destroyed to the point of elemental nonexistence)."
Manusia tidak boleh mencipta sesuatu daripada ketiadaan apa-apa (create something out of nothing). Manusia hanya mampu mereka sesuatu daripada sesuatu yang lain (invent something out of another thing). Hanya Allāh Al-Khāliq yang mampu mencipta sesuatu daripada ketiadaan apa-apa.
Hakikatnya, mata wang ialah penyimpan nilai dan tenaga ekonomi. Mata wang direka sebagai medium pertukaran bagi memudahkan transaksi dan melancarkan ekonomi. Konsep mata wang fiat yang 'mencipta' nilai suatu mata wang daripada ketiadaan hakikatnya percubaan 'mencipta' nilai dan tenaga ekonomi.
Berdasarkan Pandang Alam Islām dan Undang-Undang Pertukaran Setara, perbuatan tersebut adalah mustahil mampu dan mustahil boleh dilakukan oleh manusia, dan mengakibatkan berlakunya fenomena pemulihan (rebound phenomenon) jika undang-undang tersebut tidak dipatuhi.
'Penciptaan' (pencetakan dan penghasilan) suatu mata wang sehingga berlaku inflasi (pembekalan mata wang melebihi permintaan) yang mengakibatkan kejatuhan nilai dan kuasa beli mata wang tersebut adalah salah satu bentuk fenomena pemulihan yang berlaku. Apabila nilai dan kuasa beli suatu mata wang susut, harga barangan dan perkhidmatan dalam mata wang tersebut meningkat.
Oleh sebab nilai mata wang komoditi terletak pada fizikal dan materialnya (nilai intrinsik), mata wang komoditi kalis inflasi, kalis manipulasi dan kekal bernilai sepanjang zaman. Mata wang komoditi ialah penyimpan nilai terbaik dan paling adil dalam sejarah tamadun dan peradaban manusia.
Islām mengiktiraf konsep mata wang komoditi dan menerima penggunaannya sebagai medium pertukaran. Perkara ini dapat dilihat pada pengiktirafan Rasūl-Allāh kepada mata wang dinar emas dari Empayar Rom dan dirham perak dari Empayar Parsi, dan penggunaan kedua-duanya pada Zaman Rasūl-Allāh dan Zaman Khilāfah Islāmiyyāh (خِلَافَة إِسْلَامِيَّة).
Comments
Post a Comment