Valentine's Day: Mengasihi & Dikasihi

Hari Valentine (Valentine's Day), juga dikenali sebagai Hari Kekasih, disambut pada 14 Februari setiap tahun. Berdasarkan sejarah, Valentine's Day disambut bagi mengenang jasa dan pengorbanan seorang agamawan Kristian, Saint Valentine, dalam membela fitrah manusiawi tentera Rom untuk berkahwin, yang mana pada ketika itu, tentera Rom dilarang untuk berkahwin oleh Maharaja Rom pada zaman tersebut.

Walaupun pada awalnya Valentine's Day disambut sebagai sambutan bersemangat keagamaan Kristian, namun masa kini ia telah dipluralisasikan menjadi sambutan untuk meraikan kasih sayang secara umum tanpa mengira agama.

Dalam artikel ini, saya tidak mahu berbincang berkaitan hukum menyambut Hari Kekasih, kerana ia perkara khilāfiyyah yang tidak menyentuh prinsip Islām, dan saya pasti akan ada banyak orang berkongsi tentang hukum menyambutnya, sama ada yang mengharuskannya ataupun yang mengharamkannya.

Sempena Hari Kekasih ini, marilah kita tinjau beberapa sifat orang yang Allāh kasihi mereka dan mereka juga kasihi Allāh berdasarkan al-Qur'ān:

Wahai orang yang mengimani! Sesiapa antara kamu berpaling (murtad) daripada agamanya (Islām), maka Allāh akan datangkan suatu kaum (yang): Dia mengasihi mereka dan mereka (juga) mengasihiNya, berlemah-lembut terhadap orang beriman, bertegas-gagah terhadap orang kafir, berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allāh, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allāh, Dia berikannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allāh Maha Luas (limpah kurniaNya), Maha Mengetahui.

Selain itu, kita tinjau juga beberapa sifat orang yang Allāh tidak kasihi mereka agar kita tidak tergolong dalam kalangan mereka.


🅰️SIFAT GOLONGAN YANG ALLĀH KASIHI MEREKA
Berikut antara beberapa sifat orang yang Allāh kasihi mereka:

Berbuat Baik

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Banyak Bertaubat & Mensucikan Diri

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

Bertaqwa

Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.

Bertawakal

...Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

Berlaku Adil

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.


🅱️SIFAT GOLONGAN YANG ALLĀH TIDAK KASIHI MEREKA
Berikut antara beberapa sifat orang yang Allāh tidak kasihi mereka:


Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.

Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.

Kekal Berterusan dalam Kekufuran & Melakukan Dosa

Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

Kafir

Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.

Zalim

Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka; dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.



Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;


SIFAT GOLONGAN YANG MENGASIHI ALLĀH
Berikut antara beberapa sifat orang yang mengasihi Allāh:

Mengikuti Rasūl-Allāh

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Semoga kita menjadi pengikut Rasūl-Allāh yang berpegang teguh kepada al-Qur'ān dan al-Sunnah sebagai bukti kasih kita kepada Allāh; dan semoga Kasih Allāh bersama kita... Āmīn!



Comments

Popular posts from this blog

Kelebihan Perak Sebagai Simpanan Berbanding Emas

Akaun Perak Silver Accumulation Program (SAP) Public Gold

Easy Payment Purchase (EPP) Public Gold