Prinsip Penting Menyimpan Wang

Pernahkah anda cuba membuat simpanan kewangan, namun akhirnya gagal menyimpan? Simpan sedikit-sedikit, lama-lama masih sedikit? Sudah membuat simpanan, tetapi ter'bocor' pula? Atau tiada simpanan kewangan langsung kerana tiada wang lebihan?

Untuk artikel ini, saya kongsikan beberapa prinsip penting membuat simpanan kewangan agar kita dapat menyimpan wang, simpanan bertahan lama, berdisiplin dalam menyimpan, dan berjaya dalam membuat simpanan kewangan. Berikut antara prinsipnya:


1) Mulakan sekarang! Jangan tangguh!

Pesan Robert Kiyosaki, pengarang 'Rich Dad, Poor Dad' dan pencipta permainan CashFlow: “Your future is depends on what you do today, not tomorrow.”

Maksudnya, masa hadapan kita bergantung kepada perkara yang kita lakukan pada hari ini, bukannya pada hari esok. Perkara yang kita lakukan atau tidak lakukan pada hari ini akan memberi kesan kepada masa hadapan kita.

Bak kata pepatah, "perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama." Jika kita ingin mengembara, hatta ke penghujung dunia, mana mungkin boleh kita lakukan tanpa memulakan langkah pertama, 'kan?

Begitulah juga dalam membuat simpanan kewangan. Untuk memiliki simpanan kewangan beratus-ribu-juta ringgit, simpanan pertama mesti dilakukan walaupun sekecil 1 sen. Tiada orang kaya di dunia ini yang menjadi kaya tanpa memulakan langkah pertama dalam membuat simpanan.


2) Simpan dahulu sebelum belanja

Kesalahan yang banyak orang sering lakukan berkaitan pengurusan kewangan ialah mereka berbelanja dahulu, bakinya baru mereka simpan. Mereka beranggapan, setelah berbelanja sepanjang bulan, kalau ada wang lebihan baki perbelanjaan pada bulan tersebut, barulah mereka akan simpan. Kalau bakinya banyak, maka banyaklah simpanan mereka pada bulan tersebut; kalau bakinya sedikit, maka sedikitlah simpanan mereka pada bulan tersebut. Seolah-olah simpanan kewangan mereka lebih ditentukan oleh faktor luaran berbanding diri mereka sendiri.

Keadaan sebegitu dapat dielakkan dengan perbaiki pengurusan kewangan kita dengan pemikiran dan pengamalan 'Simpan dahulu, Belanja Kemudian'. Dengan 'Simpan Dahulu, Belanja Kemudian', kita akan ada simpanan tetap bulanan dan konsisten dalam menyimpan, yang mana simpanan itu nanti akan membuka peluang kewangan yang lebih besar. Bahkan, pendapatan kita tidak akan dihabiskan pada perbelanjaan, kewangan kita akan lebih terurus dan fikiran kita akan lebih tenang.

Nak faham lebih lanjut, baca artikel saya: Simpan Dahulu, Belanja Kemudian


3) Simpan sebahagian daripada pendapatan

Pakar-pakar kewangan sering berpesan, setiap kali dapat pendapatan, asingkan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan tersebut untuk simpanan. Jika dapat RM100, asingkan sekurang-kurangnya RM10 untuk simpanan; jika dapat RM500, asingkan sekurang-kurangnya RM50 untuk simpanan; jika dapat RM1000, asingkan sekurang-kurangnya RM100 untuk simpanan; dan seterusnya.

Tak kisahlah pendapatan tersebut diperoleh daripada mana;- gaji, wang saku, duit raya, bonus, sedekah, zakat dan lain-lain, asingkan sebahagiannya untuk simpanan. Jika dapat gaji kemudian dapat bonus, asingkan sebahagian daripada kedua-duanya untuk simpanan.


4) Asingkan segera bahagian simpanan

Apabila dapat pendapatan, perlu diasingkan sebahagiannya untuk simpanan daripada bahagian yang lain. Sebagai cadangan, asingkan bahagian untuk simpanan ke dalam tabung, sampul atau akaun khusus untuk simpanan tersebut.

Jangan dicampur-sekalikan bahagian simpanan dengan bahagian yang lain, lebih-lebih lagi bahagian perbelanjaan. Jika bahagian simpanan dicampur-sekalikan dengan bahagian lain, terutama bahagian berbelanja, dikhuwatiri akan berlaku terlebih berbelanja atau terguna bahagian simpanan tersebut, kerana tiada pemisah yang jelas antara bahagian-bahagian tersebut, membuatkan kita menyangka wang perbelanjaan kita banyak, sedangkan wang tersebut sebahagiannya ialah wang simpanan.

Berdasarkan pengamalan saya, saya jadikan akaun Tabung Haji, silver dan emas sebagai tempat simpanan kewangan saya. Apabila dapat pendapatan, saya akan asingkan terus sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan tersebut, deposit masuk ke dalam akaun Tabung Haji saya, atau saya tukarkan kepada silver atau emas. Dengan cara ini, simpanan saya tidak akan ter'bocor' atau terguna, kerana saya telah tetapkan yang saya tidak akan menggunakan wang yang saya telah asingkan ke dalam akaun Tabung Haji saya atau emas dan silver saya untuk berbelanja pada perkara yang tidak sepatutnya.


5) Sulitkan kaedah pengeluaran simpanan

Ada orang yang walaupun berjaya melakukan langkah-langkah awal dalam menyimpan, namun simpanan kewangannya tidak atau kurang bertambah kerana kebocoran kewangan. Simpan awal bulan, akhir bulan dikeluarkannya. Keadaan ini berlaku kerana kaedah pengeluaran simpanan kewangannya yang sangat mudah.

Jadi, untuk elakkan berlakukan kebocoran kewangan tersebut, kita perlu sulitkan kaedah pengeluaran simpanan kewangan kita. Sebagai contoh, jika kita simpan wang dalam akaun, berikan kad bank tersebut kepada pasangan, ibu bapa atau kenalan rapat kita yang kita percayai agar dia menjaganya dengan amanah dan hanya memberikan kepada kita jika kita memang memerlukan kewangan untuk kegunaan keperluan.

Berdasarkan pengalaman saya sepanjang saya mengaji di Mesir, saya simpan kad bank saya di tempat yang saya sendiri lupa dan akhirnya saya terpaksa menganggap kad bank tersebut 'hilang', membuatkan saya memerlukan bantuan dan pengesahan daripada ayah saya untuk melakukan sebarang transaksi kewangan. Apabila kita merasakan ada 'orang tengah' yang sentiasa memantau pengeluaran wang kita, kita akan berhemat dalam melakukan sebarang transaksi dan perbelanjaan, supaya tidak dipersoal dan perlu memberi jawapan yang munasabah dan diterima. Hasilnya, kita akan lebih banyak menyimpan berbanding berbelanja.


6) Letak matlamat simpanan

Membuat simpanan akan jadi lebih mudah dan termotivasi apabila kita ada tujuan dan matlamat suatu simpanan kewangan dilakukan.

Setiap orang pasti ada matlamat kewangannya tersendiri, sama ada dia sedar atau tidak. Contohnya, perkahwinan, menunaikan haji dan umrah, memiliki rumah atau kenderaan idaman dan lain-lain, kesemua perkara tersebut memerlukan suatu tahap kewangan yang perlu dicapai, dan semestinya tahap kewangan tersebut tidak boleh tidak hanya boleh dicapai melalui simpanan kewangan.

Sebagai contoh, menyimpan RM100/bulan dan RM1200/tahun mungkin dirasakan susah. Namun bagi orang yang berhajat dan meletakkan matlamat ingin melakukan ibadah korban pada Hari Raya Korban nanti, menyimpan RM100/bulan dan RM1200/tahun adalah suatu tindakan yang mesti dilakukan. Dia akan merasa mudah dan termotivasi kerana dia tahu tujuan dan matlamat simpanan kewangan yang dia lakukan. Bahkan jika dia tidak berdisiplin melakukan simpanan kewangan tersebut, dia akan rasa bersalah dan terasa akibat jika tidak melakukannya, iaitu matlamat kewangannya akan sukar, lambat atau tidak tercapai.

Berdasarkan pengalaman saya pula, ketika sanya masih mengaji di Mesir, saya telah tentukan beberapa matlamat simpanan kewangan saya apabila saya tamat mengaji di Mesir, antaranya:
  • Menunaikan ibadah korban setiap tahun
  • Majlis graduasi dan konvokesyen
  • Menunaikan umrah
  • Jaulah ke Sinai
  • Pembedahan LASIK atau seumpamanya
  • Perkahwinan

Al-Hamd li-Allah, beberapa matlamat simpanan tersebut berjaya dicapai. Ada beberapa matlamat simpanan yang belum berjaya dicapai buat masa ini atas faktor-faktor tertentu yang diluar kawalan, antaranya: perkahwinan (belum jumpa jodoh), majlis graduasi dan konvokesyen (dibatalkan akibat krisis pandemik COVID-19), dan menunaikan umrah (sekatan antarabangsa akibat krisis pandemik COVID-19). Walaubagaimanapun, simpanan kewangan tersebut telah tersedia dan sedia untuk digunakan apabila tiba masanya.


7) Simpan secara konsisten

Asas membina kekayaan adalah membuat simpanan secara konsisten. Tiada orang kaya di dunia ini yang tidak menyimpan secara konsisten. Nak kaya? Simpanlah secara konsisten walaupun sedikit. Biar sedikit asalkan konsisten.

Orang yang menyimpan secara konsisten walaupun sedikit, kewangannya jauh lebih baik berbanding orang yang langsung tiada simpanan. Simpanan yang sedikit tetapi konsisten jauh lebih baik berbanding simpanan yang banyak tetapi hanya sekali sahaja. Simpanan kewangan yang sedikit tetapi konsisten, lama-kelamaan akan menjadi banyak juga.

Bak kata pepatah, "sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit", atau, "sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain."

Sebagai contoh, berdasarkan pengamalan saya, saya konsisten membuat simpanan setiap bulan sekurang-kurangnya 50 gram silver. Jadi, dalam masa setahun, simpanan 


Itulah 7 Prinsip Penting Menyimpan Wang. Semoga perkongsian saya ini dapat membantu anda membuat simpanan kewangan, simpanan bertahan lama, berdisiplin dalam menyimpan, dan berjaya dalam membuat simpanan kewangan, in sya' Allah.

Comments

Popular posts from this blog

Kelebihan Perak Sebagai Simpanan Berbanding Emas

Akaun Perak Silver Accumulation Program (SAP) Public Gold

Easy Payment Purchase (EPP) Public Gold