Emas: Untuk Perempuan Sahaja?

Dalam artikel saya 'Menyimpan Emas & Silver: Dilarang dalam Islām?', saya telah jelaskan bahawa Islām tidak melarang umatnya menyimpan emas dan silver kendati simpanan emas dan silver tersebut sebanyak dan sebesar Uhud, selagimana menyempurnakan syarat berikut:
  • Menunaikan zakat emas dan silver simpanan tersebut
  • Menggunakan emas dan silver simpanan tersebut pada ketaatan kepada Allāh
Namun timbul beberapa respons seperti berikut apabila saya mengajar dan mengajak lelaki menyimpan emas:

"Emas ni untuk perempuanlah. Saya lelaki, mana boleh miliki, simpan atau pakai emas."

"Boleh ke lelaki miliki, simpan atau pakai emas? Bukan emas haram ke bagi lelaki?"

Adakah benar emas hanya untuk perempuan sahaja, bukan untuk lelaki sekali? Adakah emas dikhususkan untuk perempuan sahaja? Adakah lelaki tidak boleh memiliki, menyimpan atau memakai emas?

Jawapannya, SALAH! Emas bukan untuk perempuan sahaja, malahan EMAS UNTUK LELAKI JUGA!

Salah tayang kasut emas.

Tiada dalil mengharamkan lelaki memiliki atau menyimpan emas. Para sahabat Rasūl-Allāh juga memiliki dan menyimpan emas, bahkan simpanan emas sebahagian sahabat tersangatlah banyak! Simpanan emas kita belum tentu mampu melebihi simpanan emas sebahagian sahabat tersebut.


RASŪL-ALLĀH PERNAH MEMILIKI DAN MEMAKAI EMAS

حَدَّثَنَا يُوسُفُ بْنُ مُوسَى، حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ، حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ، عَنْ نَافِعٍ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ ـ رضى الله عنهما أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اتَّخَذَ خَاتَمًا مِنْ ذَهَبٍ أَوْ فِضَّةٍ، وَجَعَلَ فَصَّهُ مِمَّا يَلِي كَفَّهُ، وَنَقَشَ فِيهِ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ‏.‏ فَاتَّخَذَ النَّاسُ مِثْلَهُ، فَلَمَّا رَآهُمْ قَدِ اتَّخَذُوهَا رَمَى بِهِ، وَقَالَ ‏ "‏ لاَ أَلْبَسُهُ أَبَدًا ‏"‏‏.‏ ثُمَّ اتَّخَذَ خَاتَمًا مِنْ فِضَّةٍ، فَاتَّخَذَ النَّاسُ خَوَاتِيمَ الْفِضَّةِ‏.‏ قَالَ ابْنُ عُمَرَ فَلَبِسَ الْخَاتَمَ بَعْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَبُو بَكْرٍ ثُمَّ عُمَرُ ثُمَّ عُثْمَانُ، حَتَّى وَقَعَ مِنْ عُثْمَانَ فِي بِئْرِ أَرِيسَ‏.‏
Mafhumnya: Bahawasanya Rasūl-Allāh telah mengambil (memakai) sebentuk cincin daripada emas atau perak, dan menghadapkan batunya ke arah tapak tangannya, dan mengukir padanya 'Muhammad Rasūl-Allāh'. Maka manusia (para sahabat) memakai (cincin) seumpamanya. Maka apabila (baginda) melihat mereka memakai cincin-cincin tersebut, (baginda) melontar dengannya (cincin baginda sendiri), dan bersabda: "Tidak akan aku pakainya selama-lamanya". Kemudian (baginda) mengambil (memakai) sebentuk cincin daripada perak. Maka manusia (para sahabat) memakai cincin-cincin perak. Ibn `Umar berkata: "Maka selepas Nabi, Abū Bakr telah memakai cincin tersebut, kemudian `Umar, kemudian `Utsmān; sehingga (cincin tersebut) jatuh daripada `Utsmān ke dalam Perigi Arīs."

Rasūl-Allāh, yang merupakan seorang lelaki, pernah memiliki dan memakai emas. Jika emas dikhususkan hanya untuk perempuan sahaja, mengapakah Rasūl-Allāh yang merupakan seorang lelaki pernah memiliki dan memakai emas? Perbuatan Rasūl-Allāh dan para sahabat tersebut menunjukkan bahawa emas tidak dikhususkan untuk perempuan sahaja, malah emas untuk lelaki juga.


EMAS UNTUK LELAKI BERIMAN DI AKHIRAT KELAK

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، حَدَّثَنَا وَكِيعٌ، عَنْ شُعْبَةَ، عَنِ الْحَكَمِ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى، عَنْ حُذَيْفَةَ، قَالَ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ عَنْ لُبْسِ الْحَرِيرِ وَالذَّهَبِ وَقَالَ ‏ "‏ هُوَ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا وَلَنَا فِي الآخِرَةِ ‏"‏ ‏.‏
Mafhumnya: Hudzayfah berkata: "Rasūl-Allāh telah melarang (lelaki dalam kalangan orang beriman) daripada memakai sutera dan emas. Baginda bersabda: "Ia (pemakaian sutera dan emas) bagi mereka (golongan kafir dalam kalangan lelaki) di dunia, dan bagi kita (golongan beriman dalam kalangan lelaki) di Akhirat.""

Lelaki dalam kalangan orang beriman hanya tidak dibenarkan memakai emas dan sutera di dunia sahaja; namun apabila di akhirat nanti, lelaki dalam kalangan orang beriman akan dipakaikan dan dihiaskan dengan pakaian dan perhiasan daripada emas dan sutera.

Walaupun Rasūl-Allāh melarang lelaki dalam kalangan orang beriman daripada memakai emas dan sutera, tidak bermaksud emas dan sutera bukan untuk lelaki, hanya untuk perempuan sahaja. Larangan memakai tidak bermaksud larangan memiliki, menyimpan, menyentuh, memegang atau berjual-beli. Lelaki masih diharuskan memiliki, menyimpan, menyentuh, memegang atau berjual-beli emas dan sutera, tiada larangan.


PERHIASAN EMAS BAGI AHLI SYURGA

أُو۟لَـٰۤىِٕكَ لَهُمۡ جَنَّـٰتُ عَدۡنࣲ تَجۡرِی مِن تَحۡتِهِمُ ٱلۡأَنۡهَـٰرُ یُحَلَّوۡنَ فِیهَا مِنۡ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبࣲ وَیَلۡبَسُونَ ثِیَابًا خُضۡرࣰا مِّن سُندُسࣲ وَإِسۡتَبۡرَقࣲ مُّتَّكِـِٔینَ فِیهَا عَلَى ٱلۡأَرَاۤىِٕكِۚ نِعۡمَ ٱلثَّوَابُ وَحَسُنَتۡ مُرۡتَفَقࣰا ۝ 
(Mereka) itulah yang bagi mereka taman-taman (Syurga) `Adn, yang mengalir dari bawahnya (taman-taman tersebut) sungai-sungai; (mereka) dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan daripada emas, dan memakai pakaian hijau daripada sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; (mereka) berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). (Demikianlah) balasan yang sebaik-baiknya dan tempat berehat yang semolek-moleknya.
[Sūrat al-Kahf, 18:31]

إِنَّ ٱللَّهَ یُدۡخِلُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ جَنَّـٰتࣲ تَجۡرِی مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ یُحَلَّوۡنَ فِیهَا مِنۡ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبࣲ وَلُؤۡلُؤࣰاۖ وَلِبَاسُهُمۡ فِیهَا حَرِیرࣱ ۝ 
Sesungguhnya Allāh akan memasukkan orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam taman-taman (Syurga) yang mengalir daripada bawahnya sungai-sungai; mereka dihiaskan di dalamnya (dengan perhiasan) daripada gelang-gelang (yang diperbuat daripada) emas dan mutiara, dan pakaian mereka di dalamnya (diperbuat daripada) sutera.
جَنَّـٰتُ عَدۡنࣲ یَدۡخُلُونَهَا یُحَلَّوۡنَ فِیهَا مِنۡ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبࣲ وَلُؤۡلُؤࣰاۖ وَلِبَاسُهُمۡ فِیهَا حَرِیرࣱ ۝ 
(Ganjaran mereka ialah) taman-taman (Syurga) `Adn, yang mereka akan masukinya; mereka dihiaskan di dalamnya (dengan perhiasan) daripada gelang-gelang tangan (yang diperbuat) daripada emas dan mutiara; dan pakaian mereka di dalamnya (diperbuat daripada) sutera.

Ayat-ayat al-Qur'ān tersebut menceritakan ganjaran bagi ahli syurga, sama ada lelaki ataupun perempuan. Ahli syurga lelaki dan perempuan akan dihiaskan dan dipakaikan dengan perhiasan GELANG TANGAN DARIPADA EMAS!

Duli Yang Maha Mulia, Raja Gilgamesh memakai perhiasan daripada emas. Juga terdapat jalur emas pada singgahsana baginda. Emas ialah lambang kekuasaan dan kecantikan.

Emas dan gelang bukan untuk perempuan sahaja, tetapi untuk lelaki juga.

Jika emas dan gelang hanya untuk perempuan sahaja, mana mungkin ayat tersebut menggunakan kata ganti nama diri (ضمير) dan morfologi kata kerja (تصريف الفعل) dalam bentuk jamak (جمع) yang boleh membawa maksud bagi lelaki dan juga perempuan.

Jika emas dan gelang hanya untuk perempuan sahaja, berdasarkan kaedah Bahasa Arab, kata ganti nama diri dan morfologi kata kerja yang sepatutnya digunakan ialah kata ganti nama diri dan morfologi kata kerja yang hanya membawa maksud bagi perempuan sahaja, tidak bagi lelaki.

Lelaki hanya dilarang memakai emas di dunia sahaja; namun di akhirat nanti, lelaki dalam kalangan ahli syurga dibenarkan memakai emas. Jika emas dikhususkan hanya untuk perempuan sahaja, mana mungkin ahli syurga dalam kalangan lelaki dipakaikan dan dihiaskan dengan perhiasan emas.

Tiada dalil melarang lelaki daripada memakai gelang di dunia, selagimana gelang tersebut tidak memiliki ciri-ciri yang diharamkan ke atas lelaki untuk memakainya. Antara ciri gelang yang diharamkan ke atas lelaki untuk memakainya:
  • Diperbuat daripada emas (kerana lelaki diharamkan memakai emas di dunia)
  • Dikhususkan untuk perempuan

Jika suatu gelang bebas daripada ciri-ciri yang diharamkan ke atas lelaki untuk memakainya, maka hukum memakai gelang tersebut adalah harus.


PIALA EMAS BAGI AHLI SYURGA

یُطَافُ عَلَیۡهِم بِصِحَافࣲ مِّن ذَهَبࣲ وَأَكۡوَابࣲۖ وَفِیهَا مَا تَشۡتَهِیهِ ٱلۡأَنفُسُ وَتَلَذُّ ٱلۡأَعۡیُنُۖ وَأَنتُمۡ فِیهَا خَـٰلِدُونَ ۝ 
Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan besar dan piala-piala daripada emas; dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): "Kamu adalah tetap kekal di dalamnya".
Ayat tersebut pula menceritakan ahli syurga, sama ada lelaki ataupun perempuan, akan diganjarkan PIALA DARIPADA EMAS!

Pernah terfikir, kalaulah emas hanya untuk perempuan, kenapa hadiah pertandingan (contoh: piala, pingat, anugerah) bagi tempat pertama biasanya daripada emas, walaupun pertandingan tersebut disertai oleh lelaki sahaja (contoh: bola sepak, ragbi, basketball)? Keadaan ini menunjukkan bahawa emas untuk lelaki juga.

Cara Salah memegang piala emas. Emas ialah lambang kejayaan.

Kembali kepada situasi, saya mengajar dan mengajak LELAKI MENYIMPAN EMAS, bukan memakai emas. Tiada dalil menyatakan lelaki dilarang daripada menyimpan emas, selagimana dia menggunakan simpanan emas tersebut di jalan Allāh dan menunaikan zakat emas simpanan apabila tiba kewajipannya. Lagipun, emas yang saya ajar dan ajak lelaki untuk menyimpan adalah dalam bentuk jongkong, syiling dan wafer, bukan barang kemas.


KESIMPULAN


Berdasarkan hujah-hujah yang telah dinyatakan, boleh kita rumuskan seperti berikut:
  • Emas untuk lelaki juga, bukan untuk perempuan sahaja
  • Lelaki dan perempuan kedua-duanya boleh menyimpan emas
  • Lelaki beriman diharamkan memakai emas di dunia sahaja, tidak di akhirat
  • Ahli syurga lelaki dan perempuan akan dipakaikan dengan perhiasan daripada emas
  • Stereotaip 'emas untuk perempuan sahaja' tidak berlandaskan al-Qur'ān dan al-Sunnah

Semoga dengan penjelasan ini, dapat meningkatkan ilmu dan kefahaman kita tentang Islām, lalu membuahkan amalan yang sah dan diterima di sisi syara`, in syā' Allāh.

Allāh a`lam.

P/s: Bagi lelaki yang ingin memakai dan berhias dengan emas, berimanlah dan beramal solehlah agar tergolong dalam kalangan ahli syurga dan dimasukkan ke dalam syurga~😇

Comments

Popular posts from this blog

Kelebihan Perak Sebagai Simpanan Berbanding Emas

Akaun Perak Silver Accumulation Program (SAP) Public Gold

Easy Payment Purchase (EPP) Public Gold